Sumber: Berita Harian
Selepas diasak berkali-kali baru penyanyi, Hafiz Suip, 23, berani membuka mulut mengakui percintaannya dengan teman lama kecundang di pertengahan jalan selepas Aidilfitri lalu.
Tidak berniat berkongsi hal peribadi, pengalaman melalui hubungan terdahulu lalu selain enggan pihak di sebelah sana menganggap dirinya cuba memalit arang ke muka menyebabkan dia lebih selesa berdiam.
Malah anak muda berbakat besar ini mengambil jalan selamat dengan memaklumkan keterujaannya menanti kehadiran single baru, pencalonan dalam anugerah antarabangsa, Anugerah Muzik Eropah MTV (MTV EMA), selain Anugerah Planet Muzik (APM).
“Saya anggap semua ini berbalik kepada takdir. Siapa kami untuk menolak ketentuan-Nya? Memang antara saya dan dia sudah tiada apa-apa, tetapi saya amat menghormati diri dan keluarganya.
“Jadi, kurang elok andai saya bercerita lebih lanjut mengenai kami. Cukuplah kalau saya katakan, hubungan kami sudah berakhir atas sebab peribadi,” katanya ketika ditemui pada kempen World Hunger Relief (WHR) di Putrajaya, Sabtu.
Bersaing pada MTV EMA
Berbeza ketika bercinta dengan rakan seperjuangan, Adira, bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh itu agak kurang menonjolkan teman istimewanya yang dikatakan pelajar sebuah universiti di Selangor berasal dari bumi kenyalang.
Mereka didakwa sudah berkawan lama, sejak bersekolah di Sarawak, namun hanya selepas Januari lalu hubungan itu semakin intim apabila kedua-dua keluarga memberi restu.
Enggan menoleh, tumpuan pemegang gelaran Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu tiga kali berturut-turut itu kini hanya terhadap keluarga dan kerjaya seni, tambahan pula namanya kini berada dalam senarai calon untuk merebut trofi Artis Asia Tenggara Terbaik pada MTV EMA 2013 di Amsterdam, Belanda, pada 10 November ini.
“Sudah tentu saya terharu berada dalam senarai pencalonan untuk anugerah sebesar ini. Apa yang saya tahu, edisi terdahulu meletakkan Yuna sebagai wakil dari Malaysia dalam kategori sama.
“Difahamkan, saya akan bersaing dengan peserta dari lima lagi negara iaitu Noah dari Indonesia, Olivia Ong (Singapura), Sarah Geronimo (Filipina), Slot Machine (Thailand) dan My Tam (Vietnam),” ulasnya.
Calon pilihan APM
Walaupun berdebar cabaran sengit apatah lagi kaedah pemilihan pemenang berdasarkan undian, Hafiz berharap peminat serta seluruh masyarakat Malaysia memberikan sokongan.
“Orang ramai boleh melihat senarai calon di laman web rasmi MTV EMA 2013, asia.mtvema.com, manakala untuk undian hanya cari nama Hafiz Suip dan tekan butang undian,” pesannya.
Bukan itu saja, debaran penyanyi itu semakin berganda menjelang tarikh 18 Oktober ini dengan penganjuran APM 2013 yang menyenaraikan namanya untuk merebut tujuh trofi daripada 18 kategori dipertandingkan.
Sekali gus, Hafiz menjadi penyanyi paling banyak mendominasi pencalonan menerusi kategori Artis Lelaki Terbaik, Artis Serantau Paling Popular, Lagu Terbaik dan Ikon Media Sosial manakala tiga kategori lain dikongsi bersama Datuk Siti Nurhaliza, Duo/Kumpulan, Lagu Terbaik serta Lagu Serantau Paling Popular.
muda lagi, boleh fokus pada career dulu rasanya kot...lelaki tak per kot kahwin lambat...
BalasPadamhana tak tak suka dia nie. anoyying. hahah :D
BalasPadaminsyaAllah mungkin ada yang lebih baik untuk hafiz :)
BalasPadam