Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Pejam celik pejam celik, sudah masuk bulan Oktober pada tahun ini. Nampaknya hanya tinggal beberapa bulan lagi untuk aku dan si dia diijabkabulkan. Masih banyak perkara lagi yang belum kami selesaikan. Aku tahu kepayahan dia dalam meniti hari mencari nafkah untuk kami membina masjid tidak lama lagi. Pagi petang siang membawa ke malam, dia tekun mencari rezeki demi aku yang dicintainya. Aku sungguh terharu dan bertuah memiliki seorang lelaki yang penyayang saat dunia kini sukar mencari pengganti sepertinya. Mengenangkan itu, aku berusaha keras jua untuk mencari kerjaya demi kerjaya dalam meniti ranjau ini. Aku bersyukur kerana dengan bakat yang diberi Allah, aku mampu memperoleh pendapatan melalui dunia maya. Juga berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang memberi segala kemudahan untuk aku berkarya di alam maya ini. Ya! Aku sepatutnya bersyukur dengan segala apa yang aku miliki dan bukannya mengeluh atau merenung tatkala kerjaya di dunia realiti tidak kesampaian lagi. Aku tahu semua itu. Aku sedar betapa beruntungnya aku daripada insan-insan yang tidak senasib denganku. Punya ibu ayah yang penyayang, memberi segala kemewahan kepadaku, keluarga yang bersatu hati, tunang yang bertanggungjawab dan segalanya hampir telahku capai.
Keistimewaan yang kumiliki kini memberi ilham untuk aku terus berkarya di alam maya. Aku berusaha dan terus berusaha memperoleh pendapatan dengan berbekalkan bakat dan tenaga yang ada. Perkara yang sering aku tegaskan dalam meniti kehidupan ini, sentiasalah bersyukur dengan apa yang dikurniakan dan berusaha serta berdoa bersungguh-sungguh jika berkehendakan memilikinya. Pun begitu, jika ianya tidak kesampaian, janganlah mengeluh disebabkan sesuatu perkara yang tidak dapat dimiliki. Sebaliknya, mohonlah petunjuk Allah semoga dimurahkan segalanya. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin hari ini kita tidak memilikinya, tetapi suatu hari kita mampu memilikinya dan mendapat lebih lagi dari apa yang kita usahakan. Insya-Allah. Segala ketentuan Allah ada hikmah dan pasti akan dapat jua.
Dunia kini begitu pesat dengan pembangunannya. Sebagai manusia dan khalifah di muka bumi ini, aku terasa canggih hidup di dunia serba moden kini. Bayangkan suatu ketika dahulu saat nenek moyang kita menggadai nyawa mempertaruhkan maruah demi mempertahankan negara untuk kita kecapi hari ini. Sememangnya muda-mudi kita patut bersyukur dan bukannya merosakkan harta benda serta diri dalam meneruskan sisa hidup mereka. Kenapa mesti menggadai maruah dan diri? Kenapa mesti merosakkan harta benda? Bukankah itu melambangkan sikap yang tidak baik pada diri kita. Kita sepatutnya lebih bersikap toleransi, bertanggungjawab dengan segala kemudahan yang diberi dan bersyukur kerana tidak perlu bersusah payah untuk memilikinya.
Lumrah manusia, tidak puas apa yang dimiliki. Hati manusia, tidak juga kita ketahui. Yang pasti dunia kita semakin menemui jalannya. Jika kita alpa, musnahlah segalanya yang kita kecapi selama ini. Pintu taubat Allah S.W.T. masih dibuka untuk kita sama-sama memperjuangkan iman dan akhlak kita sebelum bertemu sang Pencipta. Ayuh! bangkitlah kita dari tidur yang lena dan berubahlah ke arah yang lebih baik. Nescaya, apabila hati tenang, kita mampu memiliki dunia yang aman. Melahirkan perasaan yang tenang dari hati dan nurani membawa kita kepada kehidupan yang diredhai Allah. Garisan Dunia yang kita bina mampu disenangi dengan sikap dan perbuatan yang baik dari umat manusia kini.
amin....
BalasPadamsama2 kita teruskan hidup utk dunia n akhirat =)
BalasPadam