Rabu, 23 Oktober 2024

Memperkasa Pelajar Sekolah Luar Bandar Menerusi Pendidikan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Tahun 2024 merupakan tahun yang mencabar buat kebanyakan orang. Dunia semakin berubah maju, begitu juga dengan trending gaya hidup dan persediaan modal insan yang diperlukan dalam mendepani cabaran kerjaya. Atas aspirasi tersebut, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RHMC Malaysia), sebuah badan kebajikan pilihan McDonald's Malaysia, bersama Yayasan Jaafar Ahmad, sebuah badan kebajikan yang diasaskan oleh keluarga Dato' Haji Azmir Jaafar menyumbangkan lima buah televisyen pintar atau Smart TV kepada Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar, Negeri Sembilan.

Memperkasa Murid Sekolah Luar Bandar

Menyedari keperluan kerjaya dan tuntutan industri, sumbangan Smart TV ini adalah pemberian oleh Yayasan Jaafar Ahmad kepada SK (FELDA) Pasir Besar bagi membantu guru-guru dan murid-murid dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), selain meningkatkan kecelikan dan kecekapan digital (digital literacy & competency) anak-anak sekolah luar bandar kepada teknologi terkini.

Menerusi sumbangan tersebut, sejumlah RM11,000 telah dibelanjakan oleh Yayasan Jaafar Ahmad bagi menyediakan kemudahan ini dan disalurkan melalui RHMC Malaysia sebagai badan kebajikan yang memfokuskan kesejahteraan kanak-kanak melalui pendidikan dan kesihatan. Penyampaian Smart TV ini disempurnakan oleh Dato' Haji Azmir Jaafar selaku Pengasas Yayasan Jaafar Ahmad, merangkap Presiden RHMC Malaysia.

Sekolah inilah tempat saya menimba ilmu suatu ketika dulu dan seperti sirih pulang ke gagang, saya ingin terus berbakti kepada tempat tercinta ini. Sebagai anak FELDA, saya faham akan cabaran sebagai sekolah luar bandar dan kekangan yang mereka hadapi. Perkara inilah yang memberikan motivasi kepada saya untuk menyemai bakti disini supaya anak-anak FELDA dapat akses kepada pendidikan dan bahan terkini, boleh sama maju seperti anak-anak di kota. Semoga sumbangan kecil ini boleh membawa makna dan manfaat yang besar kepada kehidupan, pendidikan dan pemikiran mereka,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengasas Yayasan Jaafar Ahmad.

Menyokong Kesejahteraan Kanak-Kanak Melalui Pendidikan

Selaras aspirasi memperkasa modal insan di samping mengembangkan bakat kreativiti dalam pendidikan, RHMC Malaysia menerusi salah satu program terasnya, Pek Kembali Ke Sekolah telah memberi manfaat kepada hampir 200 ribu kanak-kanak yang memerlukan di seluruh negara dengan menyumbangkan kelengkapan persekolahan dalam bentuk beg sekolah dan alat tulis.

Sehingga 2024, hampir RM10 juta telah dibelanjakan untuk tujuan ini dan ia akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Dana ini adalah sumbangan daripada orang ramai yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat, dermawan dan pelanggan McDonald's yang menyumbang melalui Kiosk Layan Diri di restoran.

Selain itu, Yayasan Jaafar Ahmad turut menyokong pelaksanaan Pek Kembali Ke Sekolah yang merupakan teras RHMC Malaysia menaja pek ini kepada hampir 1,000 murid pr-sekolah di seluruh Negeri Sembilan.

2 ulasan:

  1. Baguslah, sekolah luar bandar juga boleh berdiri sama tinggi dengan sekolah bandar..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya betul tu... Kesian kadang-kadang tengok sekolah luar bandar kan... Terpinggir dari arus kemodenan teknologi

      Padam

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com