Rabu, 23 Oktober 2024

Memperkasa Pelajar Sekolah Luar Bandar Menerusi Pendidikan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Tahun 2024 merupakan tahun yang mencabar buat kebanyakan orang. Dunia semakin berubah maju, begitu juga dengan trending gaya hidup dan persediaan modal insan yang diperlukan dalam mendepani cabaran kerjaya. Atas aspirasi tersebut, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RHMC Malaysia), sebuah badan kebajikan pilihan McDonald's Malaysia, bersama Yayasan Jaafar Ahmad, sebuah badan kebajikan yang diasaskan oleh keluarga Dato' Haji Azmir Jaafar menyumbangkan lima buah televisyen pintar atau Smart TV kepada Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar, Negeri Sembilan.

Memperkasa Murid Sekolah Luar Bandar

Menyedari keperluan kerjaya dan tuntutan industri, sumbangan Smart TV ini adalah pemberian oleh Yayasan Jaafar Ahmad kepada SK (FELDA) Pasir Besar bagi membantu guru-guru dan murid-murid dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), selain meningkatkan kecelikan dan kecekapan digital (digital literacy & competency) anak-anak sekolah luar bandar kepada teknologi terkini.

Menerusi sumbangan tersebut, sejumlah RM11,000 telah dibelanjakan oleh Yayasan Jaafar Ahmad bagi menyediakan kemudahan ini dan disalurkan melalui RHMC Malaysia sebagai badan kebajikan yang memfokuskan kesejahteraan kanak-kanak melalui pendidikan dan kesihatan. Penyampaian Smart TV ini disempurnakan oleh Dato' Haji Azmir Jaafar selaku Pengasas Yayasan Jaafar Ahmad, merangkap Presiden RHMC Malaysia.

Sekolah inilah tempat saya menimba ilmu suatu ketika dulu dan seperti sirih pulang ke gagang, saya ingin terus berbakti kepada tempat tercinta ini. Sebagai anak FELDA, saya faham akan cabaran sebagai sekolah luar bandar dan kekangan yang mereka hadapi. Perkara inilah yang memberikan motivasi kepada saya untuk menyemai bakti disini supaya anak-anak FELDA dapat akses kepada pendidikan dan bahan terkini, boleh sama maju seperti anak-anak di kota. Semoga sumbangan kecil ini boleh membawa makna dan manfaat yang besar kepada kehidupan, pendidikan dan pemikiran mereka,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengasas Yayasan Jaafar Ahmad.

Menyokong Kesejahteraan Kanak-Kanak Melalui Pendidikan

Selaras aspirasi memperkasa modal insan di samping mengembangkan bakat kreativiti dalam pendidikan, RHMC Malaysia menerusi salah satu program terasnya, Pek Kembali Ke Sekolah telah memberi manfaat kepada hampir 200 ribu kanak-kanak yang memerlukan di seluruh negara dengan menyumbangkan kelengkapan persekolahan dalam bentuk beg sekolah dan alat tulis.

Sehingga 2024, hampir RM10 juta telah dibelanjakan untuk tujuan ini dan ia akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Dana ini adalah sumbangan daripada orang ramai yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat, dermawan dan pelanggan McDonald's yang menyumbang melalui Kiosk Layan Diri di restoran.

Selain itu, Yayasan Jaafar Ahmad turut menyokong pelaksanaan Pek Kembali Ke Sekolah yang merupakan teras RHMC Malaysia menaja pek ini kepada hampir 1,000 murid pr-sekolah di seluruh Negeri Sembilan.

Selasa, 22 Oktober 2024

'Menang Atau Kalah' Evolusi Terbaharu Firdaus Rahmat

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Firdaus Rahmat yang pernah melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-36, 37 dan 38, kini terus mengukuhkan namanya sebagai salah satu perngkarya terhebat di tanah air. Terbaharu, dengan rasa keterujaan dan bersedia untuk membakar semangat peminat, Firdaus mempersembahkan satu sisi baharu dalam muziknya melalui single 'Menang Atau Kalah', dengan mempertaruhkan bahagian 'rap' buat kali pertama!

Penglibatan dalam Penghasilan Lagu Menang Atau Kalah

'Menang Atau Kalah' bukan sekadar lagu, tetapi tanda evolusi Firdaus Rahmat sebagai penyanyi, penulis lirik, komposer dan penerbit. Dicipta bersama komposer berbakat Iqie Hugh, lagu ini turut menjadi lagu runut bunyi kepada drama aksi mendebarkan 'Skuad X' yang menghiasi slot Lestary di TV3 akan datang!

Lagu ini mengusung tema tentang semangat pantang menyerah dan tekad untuk menghadapi segala rintangan. "Lirik lagu ini terinspirasi dari semangat juang yang tak pernah luntur,"ujar Firdaus. "Saya mahu pendengar merasa bahawa dalam apa jua situasi, kita perlu terus berusaha tanpa putus asa. Sama ada kita menang atau kalah, yang penting ialah perjalanan yang kita tempuh dengan penuh tekad."

Lagu 'Menang Atau Kalah' membawa kelainan dengan gabungan genre pop rock yang dipacu dengan rentak yang laju serta bahagian rap. Ini adalah kali pertama Firdaus Rahmat mempertaruhkan rap dalam karya muziknya. "Saya teruja dengan konsep baharu ini. Mencuba sesuatu yang luar biasa dengan memasukkan unsur rap adalah seperti mencabar diri sendiri. Bahagian rap memberikan energi dan dimensi baharu yang saya harap akan diterima baik oleh para peminat."jelasnya.

Sesi rakaman lagu ini diselesasikan dalam masa satu jam, membuktikan keserasian kukuh antara Firdaus dan Iqie Hugh, "Chemistry antara saya dan Iqie sentiasa menjadi kunci kepada penghasilan karya yang unik. Saya amat kagum dengan kebolehan Iqie dan beliau adalah pencetus kepada idea-idea segar yang membantu setiap lagu kami menjadi lebih bermakna dan relevan."

"Terima kasih kerana menerima setiap karya yang dikeluarkan oleh saya. Dengan sokongan anda, saya dapat melangkaui garisan yang tak pernah dicapai sebelum ini. Walau jasa tak terbalas dengan kata-kata, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Alternate Records kerana sentiasa percaya dengan karya saya selama ini. 'Menang Atau Kalah' adalah karya yang ke-24 saya bersama Alternate Records."tambah beliau. 

Beliau berharap agar karya terbaharu, 'Menang Atau Kalah' ini akan mendapat tempat di hati pendengar dan menjadi lagu yang menemani mereka dalam kehidupan seharian. Beliau turut berkongsi hasrat untuk mencipta lebih banyak kelainan dan memberi nafas yang segar dalam karya akan datang untuk memberikan dimensi yang lebih segar dan kepelbagaian dalam industri muzik tanah air.


Info Lagu Firdaus Rahmat - Menang Atau Kalah

Composer: Firdaus Rahmat, Iqie Hugh
Author: Firdaus Rahmat, Iqie Hugh
Producer: Firdaus Rahmat
Arranger: Firdaus Rahmat
Guitarist: Iqie Hugh
Mixing: Max Musa
Mastering: John Jeeves

Lirik Lagu Menang Atau Kalah

CHORUS
Juang di antara kita
Sesuatu akan menjelma
Luar daya
Siap sedia kah?
Menang atau kalah?

Juang bergabung tenaga
Kuasa perkasa 
Aku dan diri mu
Gegarkan mereka
Retakkan dunianya 

VERSE
Biru lawan merah
Sabar tahan marah
Api panas aku menggelegak naik marak
Hati-hati salah hari hari kau terhenti
Nahh 
Jaga diri taring tajam aku mendekati

Kira 1,2
3 dah bertandang
Empat penjuru menjadi saksi perang wira
Tuah pada jiwa, kau jebat derhaka
Tenaga sekerat, lawan debat, lawan hebat

PRE CHORUS
We gotta be fast
You don't wanna mess

VERSE2
Siapa tahu diam diam
Mungkin juga hadam malam malam dalam pendam
Makin gundah dalam gendam gegar hari siang
Debar degup dada ku bahana 

Ayuh! Dengarkan karya terbaharu Firdaus Rahmat, Menang Atau Kalah bermula pada 18 Oktober 2024. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti dan layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

Isnin, 21 Oktober 2024

Marsha Milan Terima Penghormatan 'Ahli Darjah Baru' di Istana Seri Kinabalu

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Penyanyi dan selebriti popular yang berasal dari Sabah, Marsha Milan, telah menerima penghormatan tertinggi negeri Sabah, Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K.), sempena sambutan peringkat negeri Sabah bersempena dengan ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Anugerah ini merupakan pengiktirafan yang diberi kepada individu yang telah menyumbang secara signifikan dalam bidang masing-masing dan Marsha diiktiraf atas pencapaiannya dalam industri hiburan serta sumbangannya kepada seni dan budaya Sabah.

Marsha, yang tidak menyangka akan menerima anugerah besar ini, meluahkan rasa syukur dan teruja ketika ditemu bual. “Saya amat terharu dan berbesar hati dengan anugerah ini. Saya tidak pernah membayangkan akan diiktiraf sebegini rupa. Ini adalah penghormatan yang sangat besar bagi saya dan memberi motivasi besar untuk saya terus berusaha menjadi lebih baik dalam kerjaya seni saya. Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong saya selama ini,” kata Marsha dengan penuh rasa syukur.

Sebagai anak jati Sabah, pengalaman membesar di Sabah telah membentuk dirinya sebagai seorang penyanyi dan selebriti yang berjaya. Meskipun menghadapi cabaran untuk menembusi industri hiburan pada awal kariernya, Marsha berjaya membuktikan bakatnya dan kini menjadi salah satu ikon dalam industri ini.  Menurut Marsha, “Sebenarnya, saya tidak pernah membayangkan diri saya akan berada dalam industri hiburan kerana platform pada zaman saya sangat terhad. Tapi Alhamdulillah, saya berjaya menembusi industri ini. Sekarang, saya lihat semakin ramai bakat dari Sabah yang mendapat tempat, dan saya sangat gembira untuk berada di atas pentas bersama-sama mereka”.

Sebagai seorang ikon, Marsha ingin menyampaikan mesej kepada bakat-bakat muda Sabah agar terus mengejar impian mereka dengan dedikasi dan kegigihan. "Jangan hanya mengejar populariti, tetapi fokus pada bakat dan minat anda yang sebenar," pesan Marsha.

Sepanjang perjalanan kariernya, Marsha telah menghadapi pelbagai cabaran, termasuk mengambil pelbagai peranan untuk terus relevan dalam industri. Namun, kegigihan dan semangatnya telah membawanya ke tahap yang tinggi. “Untuk kekal relevan dalam industri, saya perlu mencuba pelbagai peranan, dari berlakon, mengacara TV, menjadi emcee, hingga menyanyi sebagai vokalis latar. Saya juga keluarkan duit sendiri untuk menerbitkan single saya. Tapi semuanya berbaloi, dan saya tidak pernah menyesal,” jelas Marsha.

Penerimaan Ahli Darjah Kinabalu ini telah memberikan Marsha inspirasi untuk terus berkarya dan menyumbang kepada industri hiburan Sabah.  Marsha berharap untuk terus mengangkat nama Sabah dalam industri hiburan dan sedang merancang projek-projek khas untuk peminatnya di Sabah, dan berharap dapat terus memperkenalkan budaya dan seni Sabah kepada dunia.  “Cinta saya kepada tanah air, Sabah, adalah keutamaan saya. Saya juga bercita-cita untuk membawa lebih banyak elemen kraf Borneo dalam karya-karya saya di masa akan datang, insyaAllah.”  tambah beliau.  

Ahli Darjah Kinabalu yang telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada 16 Oktober 2024 di Istana Seri Kinabalu ini mengukuhkan lagi kedudukan Marsha sebagai ikon dalam industri hiburan dan inspirasi kepada bakat-bakat muda di Sabah yang bercita-cita untuk berjaya.  

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.