Isnin, 21 Oktober 2024

Marsha Milan Terima Penghormatan 'Ahli Darjah Baru' di Istana Seri Kinabalu

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Penyanyi dan selebriti popular yang berasal dari Sabah, Marsha Milan, telah menerima penghormatan tertinggi negeri Sabah, Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K.), sempena sambutan peringkat negeri Sabah bersempena dengan ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Anugerah ini merupakan pengiktirafan yang diberi kepada individu yang telah menyumbang secara signifikan dalam bidang masing-masing dan Marsha diiktiraf atas pencapaiannya dalam industri hiburan serta sumbangannya kepada seni dan budaya Sabah.

Marsha, yang tidak menyangka akan menerima anugerah besar ini, meluahkan rasa syukur dan teruja ketika ditemu bual. “Saya amat terharu dan berbesar hati dengan anugerah ini. Saya tidak pernah membayangkan akan diiktiraf sebegini rupa. Ini adalah penghormatan yang sangat besar bagi saya dan memberi motivasi besar untuk saya terus berusaha menjadi lebih baik dalam kerjaya seni saya. Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong saya selama ini,” kata Marsha dengan penuh rasa syukur.

Sebagai anak jati Sabah, pengalaman membesar di Sabah telah membentuk dirinya sebagai seorang penyanyi dan selebriti yang berjaya. Meskipun menghadapi cabaran untuk menembusi industri hiburan pada awal kariernya, Marsha berjaya membuktikan bakatnya dan kini menjadi salah satu ikon dalam industri ini.  Menurut Marsha, “Sebenarnya, saya tidak pernah membayangkan diri saya akan berada dalam industri hiburan kerana platform pada zaman saya sangat terhad. Tapi Alhamdulillah, saya berjaya menembusi industri ini. Sekarang, saya lihat semakin ramai bakat dari Sabah yang mendapat tempat, dan saya sangat gembira untuk berada di atas pentas bersama-sama mereka”.

Sebagai seorang ikon, Marsha ingin menyampaikan mesej kepada bakat-bakat muda Sabah agar terus mengejar impian mereka dengan dedikasi dan kegigihan. "Jangan hanya mengejar populariti, tetapi fokus pada bakat dan minat anda yang sebenar," pesan Marsha.

Sepanjang perjalanan kariernya, Marsha telah menghadapi pelbagai cabaran, termasuk mengambil pelbagai peranan untuk terus relevan dalam industri. Namun, kegigihan dan semangatnya telah membawanya ke tahap yang tinggi. “Untuk kekal relevan dalam industri, saya perlu mencuba pelbagai peranan, dari berlakon, mengacara TV, menjadi emcee, hingga menyanyi sebagai vokalis latar. Saya juga keluarkan duit sendiri untuk menerbitkan single saya. Tapi semuanya berbaloi, dan saya tidak pernah menyesal,” jelas Marsha.

Penerimaan Ahli Darjah Kinabalu ini telah memberikan Marsha inspirasi untuk terus berkarya dan menyumbang kepada industri hiburan Sabah.  Marsha berharap untuk terus mengangkat nama Sabah dalam industri hiburan dan sedang merancang projek-projek khas untuk peminatnya di Sabah, dan berharap dapat terus memperkenalkan budaya dan seni Sabah kepada dunia.  “Cinta saya kepada tanah air, Sabah, adalah keutamaan saya. Saya juga bercita-cita untuk membawa lebih banyak elemen kraf Borneo dalam karya-karya saya di masa akan datang, insyaAllah.”  tambah beliau.  

Ahli Darjah Kinabalu yang telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada 16 Oktober 2024 di Istana Seri Kinabalu ini mengukuhkan lagi kedudukan Marsha sebagai ikon dalam industri hiburan dan inspirasi kepada bakat-bakat muda di Sabah yang bercita-cita untuk berjaya.  

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.