Jumaat, 15 Disember 2023

Tonton Online Siri Anime Hyouka (Episod 1 - Episod 22)

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...


Filem
Hyouka

Pengarah
Yasuhiro Takemoto

Genre
Animasi, Misteri

Pelakon / Alih Suara
Yuichi Nakamura, Satomi Sato, Ai Kayano dan Daisuke Sakaguchi

Sinopsis Anime Hyouka

Hyouka merupakan siri anime bergenre misteri slice of life yang diterbitkan pada tahun 2012. Anime ini merupakan garapan dan arahan dari pengarah Yasuhiro Takemoto yang mana sebelumnya telah mencipta anime Full Metal Panic dan High Speed Free. Menambah hebat dan menarik lagi adalah pengalih suara yang sangat baik seperti Yuichi Nakamura, Satomi Sato, Ai Kayano, dan Daisuke Sakaguchi.

Anime Hyouka mengisahkan Houtarou Oreki seorang pelajar sekolah menengah menjalani hidupnya dengan misi yang terarah kepada energi yang dia rasakan mampu. Sayangnya, hari-hari yang bertenang dan damai berakhir ketika kakaknya, Tomoe memaksanya untuk menyelamatkan Kelab Sastera. Kelab tersebut terancam dan terbubar kerana tidak mempunyai anggota baharu yang mendaftar.

Kesukaran Oreki untuk meneruskan legasi kelab itu dibantu setelah ia bertemu dengan pelajar bernama Eru Chitanda. Oreki fikir bahawa hidupnya akan dibantu oleh Chitanda, namun di sebaliknya, Oreki yang terjerat dek kerana kepribadian dan perasaan ingin tahu dari Chitanda. Akhirnya, Kelab Sastera tersebut memiliki empat anggota atau empat sekawan iaitu Houtarou Oreki, Eru Chitanda, Satoshi Fukube dan Mayaka Ibara.

Anime Hyouka ini mempunyai 22 episod yang akan merungkai setiap misteri dengan kemampuan menarik dari Oreki. Misteri apa sahaja yang dibuat oleh empat sekawan ini? Jom LeYa kongsikan link penuh untuk korang sama-sama tonton sehingga tamat.

Menariknya lagi, dalam siri anime ini ada disebut nama negara kita iaitu Malaysia. Wah! Rasa bangga pulak kan. Dah-dah jom tonton siri anime ni kalau korang nak tahu episod mana yang ada nama negara kita tu.


Senarai Episod Anime Hyouka

EPISOD 1

EPISOD 2

EPISOD 3

EPISOD 4

EPISOD 5

EPISOD 6

EPISOD 7

EPISOD 8

EPISOD 9

EPISOD 10

EPISOD 11

EPISOD 12

EPISOD 13

EPISOD 14

EPISOD 15

EPISOD 16

EPISOD 17

EPISOD 18

EPISOD 19

EPISOD 20

EPISOD 21

EPISOD 22

 


So... LeYa nak ucapkan selamat menonton siri anime Hyouka di tontonan online yang LeYa kongsikan. Jika korang rasa artikel ini adalah bermanfaat, tanpa segan silu silalah share di laman sosial korang dan jangan lupa untuk tinggalkan komen di bawah terhadap siri anime ini.

Khamis, 14 Disember 2023

Review Filem Walid | Kini Boleh Ditonton di Netflix

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...


Filem
Walid

Pengarah
Areel Abu Bakar

Genre
Aksi

Pelakon
Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi

Penerbit
Layar Pictures Sdn Bhd

Sinopsis Filem Walid

Filem ini mengisahkan tentang seorang guru, Walid (lakonan Megat Sharizal) yang baik hati dan berdedikasi secara sukarela mengajar kanak-kanak kurang bernasib baik di sebuah perkampungan. Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila beberapa orang pelajarnya menghilangkan diri dari kelas. Dengan bantuan rakan-rakannya berserta petunjuk dan klu yang ditinggalkan, beliau menjejak pelajar-pelajarnya yang disyaki menjadi mangsa penculikan.


Ulasan

Setelah kejayaan filem Geran yang ditayangkan pada tahun 2019, Layar Pictures kembali menerbitkan sebuah lagi filem aksi berjudul WALID. Alhamdulillah, walaupun LeYa tidak dapat menonton filem ini di panggung wayang, namun, LeYa baru sahaja berkesempatan menonton filem ini di saluran Netflix. 

Mengangkat tentang isu penculikan kanak-kanak, Walid merupakan sebuah filem aksi yang sarat dengan elemen seni mempertahankan diri iaitu silat. Filem ini juga menggambarkan isu penting perdagangan manusia di mana kanak-kanak digunakan sebagai alat untuk menjadi komoditi dalam pasaran hitam global.


Sebelum LeYa pergi lebih jauh kepada faktor-faktor utama kehebatan filem ini, LeYa nak berkongsi dengan perkara kecil terlebih dahulu tetapi memberi impak kepada perjalanan keseluruhan filem ini. Filem ini masih sama seperti filem Geran yang menggunakan dialek dan lenggok bahasa Utara secara keseluruhannya. Penggambaran juga turut dilakukan di negeri Kedah sekitar Februari 2022 yang mana pada ketika itu negara kita baru sahaja berakhir pandemik Covid-19. Istimewanya tentang filem ini adalah barisan pelakon mereka sendiri rata-ratanya mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri. 


Kembali kepada fokus utama di mana silat yang merupakan elemen seni mempertahankan diri jarang-jarang diangkat. Kerana terlalu ramai merindukan aksi-aksi silat, Areel yang sangat berbakat telah menghasilkan dan mengangkat sekali lagi seni mempertahankan diri ini dalam filem Walid bersama para pelakon hebat seperti Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi. Filem Walid ini telah memberikan harapan pada penonton tentang kemunculan pelapis-pelapis baru dalam filem ini yang mana ia telah menampilkan aksi silat yang benar-benar hebat dan berkualiti.


Asyik memuji je pun tak boleh juga kan. Dalam dunia ni mana ada yang betul-betul perfect. Ye ke idok? Jadi, filem Walid juga tidak dapat lari dari beberapa kelemahan yang LeYa dapat kenal pasti sepanjang menonton filem ini. Babak-babak cerita pada permulaan agak perlahan, tiada tujuan dan hampir hilang tumpuan ketika menontonnya. Bagi LeYa, mungkin selepas ini Areel boleh ubah sedikit penceritaan kepada lebih fokus tentang filem, memaparkan adegan ceria dan happening di awal penceritaan serta memainkan sudut kamera dan suntingannya. Gangguan di sini bukanlah gangguan yang dominan cuma sayangnya jika ada penonton yang kurang sabar, pasti akan terus tutup dan tidak menghabiskan tontonan. Namun, LeYa tidak kata arahan dan lakonan para pelakon tidak bagus. Sememangnya lakonan dari para pelakon yang dipilih Areel sangat hebat dan menjiwai watak.


Jadi, LeYa nak bagitahu korang jangan tutup cerita selagi tak habis tau. Selamat menonton filem Walid di saluran Netflix korang dan tinggalkan komen di bawah terhadap filem ini untuk perkongsian kita semua. #JananKecam 

Isnin, 11 Disember 2023

Santai dan Bermalam di Payo Campsite, Johol, Negeri Sembilan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Berkhemah atau camping menjadi trend percutian masa kini. Ditambah pula dengan kewujudan campsite atau tapak perkhemahan yang semakin banyak pilihan untuk geng-geng camper.

Bagaikan 'ketagih' dengan aktiviti sebegini berserta dengan adanya peralatan yang lengkap, LeYa pasti dalam kalangan korang tak senang duduk bila tiba hujung minggu. Pasti ada sahaja tempat baru yang korang akan pacak khemah. Kadang tu tak lama mana pun bermalamnya, cukup sehari dua pun sudah memadai. Lepas gian orang putih kata. Hehehe...

Kebiasaannya, tapak-tapak perkhemahan yang ada mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Ada yang dekat dengan sungai, ada yang mempunyai pemandangan gunung-ganang, tasik, laut dan banyak lagi. Kemudahan yang diberikan juga lengkap bagi memudahkan para camper untuk memilih lokasi campsite pilihan mereka.

So, korang yang dah takde idea nak buat apa weekend dan cuti sekolah ni? Tiap-tiap minggu asyik cafe hunting je. Apa kata korang try nikmati makan malam korang di bawah cahaya bulan. Jom LeYa kongsikan port camping menarik di Payo Campsite, Johol, Negeri Sembilan.

Sekiranya korang ingin merasai pengalaman berkhemah di tepi sungai, inilah lokasi yang korang patut terjah. Jarak tapak perkhemahan dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa 1 jam lebih dan pastinya berbaloi untuk diterokai.

Untuk pengetahuan korang lagi, Payo Campsite merupakan sebuah tapak perkhemahan yang masih baru dan terletak di Pekan Rengoh, Johol, Negeri Sembilan. Masuk sahaja ke kawasan tapak perkhemahan ini, korang akan disajikan dengan beberapa khemah yang telah siap dipasang oleh para pengunjung.

Air sungai yang jernih pastinya membuatkan korang tenang untuk berehat di sini. Paras airnya juga cetek dan pastinya sesuai untuk kanak-kanak bermain. Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di tapak perkhemahan ini seperti ruang solat terbuka, 2 bilik air dan bilik mandi, 3 ruangan mandi di luar serta tempat parkir kereta yang luas.

 

Di tapak perkhemahan ini juga terdapat kebun buah. Jika korang penggemar buah durian dan kena pada musimnya, korang bolehlah menikmati buah durian sebanyak yang korang mahukan. Memang sangat berbaloi!

 
 

Santai dan Makan Tengahari Di Payo Campsite

Nak dijadikan cerita, LeYa time ni tak berkesempatan nak bermalam di sini. Tapi menariknya dapat menikmati makan tengahari dengan kawan-kawan di bawah pohon pokok yang teduh dengan pemandangan nan hijau yang mendamaikan. Memang feeling habis... Pelbagai menu kampung disediakan sangat menarik dan semuanya lazat-lazat belaka.

 

Alhamdulillah... Kenyang perut kami menikmati makanan yang disediakan. Selesai makan, kami bersantai di tepi sungai dan menunaikan solat di ruang solat yang disediakan. 

Suasana Malam Di Payo Campsite

Korang yang ingin bermalam di sini, pasti nak tahu suasana di waktu malam di sini kan? Nah! LeYa kongsikan pemandangan malam di Payo Campsite yang sangat cantik.

 
 
 

Jom Bermalam Di Payo Campsite

Sekiranya korang ingin merasai pengalaman bercamping, korang boleh bermula di sini. Keadaan camping yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pastinya memberikan korang keselesaan walaupun sedang bercamping. Harga yang ditawarkan juga tidaklah begitu mahal. Cuma RM50 sahaja. 

Sejujurnya LeYa agak sedikit terkilan sebab tidak dapat merasai pengalaman bermalam di Payo Campsite ini disebabkan kekangan masa. But one fine day, LeYa akan datang sekali lagi untuk merasai pengalaman bermalam di sini.


Untuk sebarang tempahan dan pertanyaan lanjut, boleh hubungi :

Lokasi
Kampung Payo, Rengoh, Johol, Negeri Sembilan, Malaysia

Telefon
📱010-4261003

Facebook

TikTok

Rabu, 29 November 2023

Malam Penuh Inspirasi dan Keajaiban Muzik Dalam Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Siapa tak kenal dengan penyanyi terkenal Datuk Zainalabidin Mohamed ni kan? Beliau yang juga seorang tokoh dalam industri muzik bakal memukau penonton dengan konsert edutainment luar biasa berjudul, Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit). Acara unik ini akan berlangsung pada hari Sabtu, 20 Januari 2024 di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts (KLPAC), menjanjikan malam yang penuh inspirasi, kisah yang memukau dan muzik yang penuh jiwa.

Malam Penuh Inspirasi dan Keajaiban Muzik Dalam Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound

Sound Spirit adalah sebuah acara yang menggabungkan muzik dan pendidikan, yang bakal menarik peminat dan penggiat muzik serta golongan profesional dari seluruh industri muzik. Acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk membina hubungan sesama rakan seindustri malah membuka peluang untuk organisasi yang terlibat dalam industri muzik untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka. 

Konsert ini yang disokong oleh MyCreative Ventures bersama rakan rasmi CIMB Artober akan menyaksikan Datuk Zainalabidin sebagai peneraju utama yang akan berkongsi pengalamannya bersama ikon muzik terkenal termasuk Michael Veerapen, Sunil Kumar dan Steve Thornton.

Selain itu, konsert ini turut menampilkan persembahan oleh Pija Yasin, pemenang program TV3 'Mentor', yang merupakan protege kepada Datuk Zainalabidin, di samping penyanyi baharuOne Juicy, yang juga merupakan salah seorang Penari B-Boy Terbaik Asia dan juara program realiti Astro Ria 'The Band'.

Datuk Zainalabidin juga ada memberitahu yang konsert ini diinspirasikan untuk menarik penonton daripada pelbagai latar belakang, sama ada di dalam dan luar negara dengan menawarkan gabungan istimewa hiburan dan pendidikan. Ia turut menjanjikan sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat penonton dengan mengetengahkan bakat, bimbingan dan kuasa keajaiban muzik.

Sound Spirit menerusi fokus utamanya iaitu kepada kumpulan pelajar dari latar belakang B40, menyasarkan untuk memberi peluang para pelajar muzik yang kurang berkemampuan mengalami dan merasai pengalaman transformatif muzik dan seni. Sound Spirit telah bekerjasama dengan lima universiti tempatan terkemuka iaitu Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Universiti UCSI, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Universiti Limkokwing yang akan mempromosikan acara itu secara aktif dalam kalangan pelajar mereka, khususnya pelajar jurusan muzik.

Datuk Zainalabidin percaya pendedahan kepada acara kebudayaan sebegini boleh memberi impak positif yang berpanjangan kepada kehidupan para pelajar ini, di samping menawarkan inspirasi dan kegembiraan yang mungkin sukar diakses tanpa acara seumpama ini. Beliau berkata konsert itu adalah bukti muzik sebagai satu kuasa yang mampu untuk memberi perubahan positif, menyatukan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat dalam meraikan seni dan budaya.

"Kami teruja untuk menganjurkan sebuah acara yang bukan sekadar hiburan, malah ianya menjadi platform untuk pembelajaran dan menjalinkan hubungan dalam industri muzik. Dengan melibatkan individu berbakat dan memberi tumpuan kepada pelajar muzik yang kurang berkemampuan, kami berharap dapat menyumbang kepada pembangunan generasi seterusnya dalam bidang muzik dan seni,” ujar Datuk Zainalabidin. 

Tambah beliau lagi, "pasukan produksi Sound Spirit sedang berusaha untuk bekerjasama dengan beberapa penaja berpotensi yang akan memberikan sokongan kewangan bagi menampung kos tiket konsert, demi memastikan pelajar-pelajar muzik yang kurang berkemampuan ini berpeluang untuk menghadiri acara ini.

Bagi yang berminat untuk dapatkan tiket, boleh membeli secara atas talian di https://www.cloudjoi.com/shows/zainalabidin-sound-spirit-concert dengan harga RM110 dan RM210.

Tempahan awal amatlah digalakkan bagi memastikan peminat-peminat muzik dapat menghadiri konsert ini. Untuk maklumat lanjut tentang Sound Spirit, boleh ikuti @soundspirit.zainalabidin di Facebook dan Instagram.

Khamis, 23 November 2023

Tempat Camping Menarik Yang Seronok dan Mesra Alam Di Natura Campground, Pahang

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Hai korang... Pasti ramai yang sudah mula beraktiviti percutian dengan lebih unik dan menyeronokkan menerusi percutian perkhemahan kan? Seperti yang kita tahu, setiap aktiviti perkhemahan menawarkan pengalaman berbeza dan tidak hanya memberi peluang untuk meneroka alam semula jadi, tetapi melatih diri untuk menjadikan kita lebih berdikari.

Ini kerana nak bercamping ni bukan mudah, sebab nak kena plan banyak perkara. Macam dari segi pemilihan lokasi, aktiviti, kemudahan asas seperti surau, tandas, tempat memasak dan banyak lagi. Jadi, baru-baru ini, LeYa berkesempatan merasai suasana camp site yang sangat menarik di Natura Campground yang terletak di Bentong, Pahang

Tempat Camping Menarik Yang Seronok dan Mesra Alam Di Natura Campground, Pahang

LeYa dan beberapa sahabat blogger telah pergi ke Natura Campground yang terletak di Kg Shafie, Manchis, Bentong Pahang menerusi jemputan dari Dato' Seri Hajjah Siti Murni Dato' Seri Sheikh Ahmad iaitu CEO Syarikat Ghullam Development Sdn Bhd yang mana syarikat beliau mengelola Program I-Kembali. Program I-Kembali adalah program yang menyediakan peluang pekerjaan untuk bekas banduan, orang diparol dan diselia dengan jabatan penjara. Bagi mengetahui lebih lanjut tentang program ini, boleh layari laman sesawang https://i-kembali.com.my/.

Natura Campground dibuka sejak dari tahun 2015 lagi. Namun, kerja-kerja membaik pulih siap selepas PKP. Dan ketika inilah ia mendapat tempat di hati pengunjung yang datang terutama peminat camping. 

Big boss, Dato' Seri Hajjah Siti Murni

Singgah Makan Tengahari Di Kedai Makan Kak Su, Simpang Pelangai

Kami berkumpul tepat jam 11.00 pagi di Cyberjaya dan kemudian menaiki kenderaan yang disediakan ke Natura Campground yang mana ia juga adalah milik Dato' Seri Siti Murni sendiri. Kami bertolak kira-kira jam 11.30 pagi dan sebelum masuk ke kawasan Natura Campground, kami singgah makan tengahari di Kedai Makan Kak Su di Simpang Pelangai.


 

Nak dijadikan cerita, dari kedai makan ni nak ke campsite, tak lah berapa jauh lagi. Lebih kurang dalam 15 minit. Trip kali ni LeYa pergi bersama Geng Blogger LF yang disertai oleh Kak Mieda, Ayie dan Kak Halimah dan rakan-rakan blogger yang lain.


Setelah mengharungi jalan berliku dari Cyberjaya dan mengenyangkan perut di Kedai Makan Kak Su, tepat jam 3.30 petang, kami pun tiba di Natura Campground. 


Ketibaan kami disambut baik oleh En Zaini Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai King iaitu rakan kongsi dan pengurus di situ.


Pengalaman Bermalam di Natura Campground

Natura Campground merupakan Campsite yang meliputi kawasan yang agak luas dan lengkap dengan kemudahan asas seperti tapak khemah, bilik untuk disewa, tandas, dewan, tempat berkumpul, kedai runcit mini, surau, penapis air, kolam air sungai, laluan trekking dan paling best ada kawasan air terjun ye!




Nampak menarik dan luas kan kawasan Natura Campground ni. Memang rata-rata yang datang ke sini pasti akan bermalam sehari atau lebih di dalam khemah yang dibawa sendiri mahupun di bilik-bilik yang disediakan.

Jenis Penginapan di Natura Campground

Okay... Jom LeYa ceritakan lagi jenis-jenis penginapan yang terdapat di Natura Campground. Kat sini terdapat 2 jenis penginapan iaitu jenis Chalet dan tapak perkhemahan.

Chalet pula terdiri daripada 3 jenis iaitu:
  1. Hobbit Chalet : 10 unit
  2. Collina Chalet : 2 unit
  3. Casa Abero Chalet (VIP) : 1 unit
Bagi penginapan di Chalet Hobbit, ia tidak tersedia tandas dan bilik mandi di dalamnya. Pengunjung yang menginap di chalet ini perlu berkongsi tandas yang terdapat di luar. 

Bagi Chalet Collina dan Casa Abero pula, ia memiliki katil queen bersama bantal, selimut, towel, kipas dan aircond. Di bilik penginapan ini terdapat tandas untuk keselesaan pengunjung.

 
 

Untuk kali ini, LeYa mencuba menginap di Chalet Hobbit  yang comel kat bawah ni. Bagi korang yang nak bermalam di chalet ni, kenalah booking awal sebab hanya ada 10 unit bilik sahaja tau.

 

Menariknya bermalam di dalam Chalet Hobbit ni walaupun ia chalet tapi vibe dia rasa macam bercamping masih ada. Sebab apa LeYa kata macam tu? Korang tengok gambar kat bawah ni. Bilik dia sediakan untuk 2 orang dengan ada katil dan bantal camping serta kipas dinding. Memang basic tetapi sesuai dan berpatutan dengan harganya.

 

Secara jujurnya, waktu siang memang panas bila berada di dalam bilik chalet ni. Samalah macam kita bermalam di dalam khemah kan. Jadi, waktu siang ni apa lagi beramai-ramai lah kami semua beraktiviti di luar seperti lepak dan mandi kolam air sungai dan juga membuat aktiviti santai bermain game. Tapi bila malam menjelma, memang sejuk dan tak payah guna aircond pun. Selimut yang ada pun macam rasa tak cukup. Hahaha...

Jom kita pergi melawat tapak perkhemahan pula. Dekat sini ada 4 kawasan perkhemahan iaitu:
  1. Campo Zone (20 tapak)
  2. Alto Zone (8 tapak)
  3. Pool Zone (5 tapak)
  4. Lato Zone (8 tapak)
Setiap tapak perkhemahan dikenakan bayaran RM70 untuk satu hari penginapan. Tandas dan bilik mandi juga perlu berkongsi bersama dengan pengunjung yang menginap di Chalet Hobbit.




Harga Camping di Natura Campground, Bentong, Pahang

Chalet Hobbit: RM100/ malam - Bilik untuk 2 orang dan kipas.
Family Collina: RM200/ malam - Bilik untuk 2 orang dan ada aircond.
VIP Chalet Cara Albero: RM300/ malam - Bilik berhawa dingin.
Tapak khemah (Tanpa khemah): RM70 - untuk tapak seluas 8ftx7ft.

Mandi-Manda di Kolam Renang Air Bukit Semulajadi


Siapa saja yang tak suka dengan mandi-manda kan? Jom LeYa tunjukkan lagi dengan kolam renang yang ada di sini. Dekat sini, kolamnya berteres yang mana bahagian bawah sekali sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa disediakan di bahagian atas.

LeYa nak bagitahu lagi, kolam renang di sini kesemuanya bebas klorin kerana airnya dari sumber air bukit dan memang sangat sejuk dan nyaman bila mandi.

Kolam renang untuk kanak-kanak

Bagi pengunjung yang tidak menginap atau bermalam di sini, korang juga boleh merasai kesejukan mandi di kolam renang ini dengan bayaran RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.

Kolam renang untuk dewasa

Trekking Ke Air Terjun

Kira-kira korang trekking sedikit dalam 500 meter ke hadapan dari tapak perkhemahan, korang boleh menikmati juga kejernihan dan kesejukan air terjun yang ada di situ. Airnya tidaklah deras dan membahayakan. Memang sesuai lah untuk berendam dan bermain serta bergambar di situ.

 

Pelbagai Kemudahan Asas dan Boleh Beraktiviti Di Waktu Siang dan Malam

Di sini juga ada disediakan kemudahan asas seperti tandas dan bilik mandi, surau, dewan, kedai runcit mini, penapis air, kolam mandi kanak-kanak dan dewasa serta kawasan camping yang bersih dan lengkap. 

Nak beraktiviti di waktu malam pun rasa selamat sebab ada banyak lampu dan kawasan pun berpagar. Insya-Allah memang selamat untuk anak-anak bermain.


Nampak cool dan menarik kan bercamping ni sebenarnya? Dengan pelbagai tawaran aktiviti menarik boleh dibuat di kawasan sekitar, alam semulajadi yang nyaman dan segar, jauh dari hiruk-pikuk kota, tak ada sebab untuk korang tidak mencuba camping dan bermalam bagi percutian yang akan datang.

Tambahan pula, sekarang ni korang sendiri dah tahu kat mana lokasi best untuk bercamping. Jadi, jangan buang masa, rancang dari sekarang, pasti korang tidak akan menyesal!

Bagi korang yang berminat untuk menginap di sini, nah LeYa sertakan sedikit maklumat:

Alamat
Lot PT666 Ulu Semei, Kg Shafie, Machis, 28730 Bentong, Pahang

Email
naturacampground@gmail.com

WhatsApp
+6016 - 449 4354

Facebook

Instagram

TikTok