Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...
Siapa tak kenal dengan penyanyi terkenal Datuk Zainalabidin Mohamed ni kan? Beliau yang juga seorang tokoh dalam industri muzik bakal memukau penonton dengan konsert edutainment luar biasa berjudul, Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit). Acara unik ini akan berlangsung pada hari Sabtu, 20 Januari 2024 di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts (KLPAC), menjanjikan malam yang penuh inspirasi, kisah yang memukau dan muzik yang penuh jiwa.
Malam Penuh Inspirasi dan Keajaiban Muzik Dalam Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound
Sound Spirit adalah sebuah acara yang menggabungkan muzik dan pendidikan, yang bakal menarik peminat dan penggiat muzik serta golongan profesional dari seluruh industri muzik. Acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk membina hubungan sesama rakan seindustri malah membuka peluang untuk organisasi yang terlibat dalam industri muzik untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.
Konsert ini yang disokong oleh MyCreative Ventures bersama rakan rasmi CIMB Artober akan menyaksikan Datuk Zainalabidin sebagai peneraju utama yang akan berkongsi pengalamannya bersama ikon muzik terkenal termasuk Michael Veerapen, Sunil Kumar dan Steve Thornton.
Selain itu, konsert ini turut menampilkan persembahan oleh Pija Yasin, pemenang program TV3 'Mentor', yang merupakan protege kepada Datuk Zainalabidin, di samping penyanyi baharuOne Juicy, yang juga merupakan salah seorang Penari B-Boy Terbaik Asia dan juara program realiti Astro Ria 'The Band'.
Datuk Zainalabidin juga ada memberitahu yang konsert ini diinspirasikan untuk menarik penonton daripada pelbagai latar belakang, sama ada di dalam dan luar negara dengan menawarkan gabungan istimewa hiburan dan pendidikan. Ia turut menjanjikan sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat penonton dengan mengetengahkan bakat, bimbingan dan kuasa keajaiban muzik.
Sound Spirit menerusi fokus utamanya iaitu kepada kumpulan pelajar dari latar belakang B40, menyasarkan untuk memberi peluang para pelajar muzik yang kurang berkemampuan mengalami dan merasai pengalaman transformatif muzik dan seni. Sound Spirit telah bekerjasama dengan lima universiti tempatan terkemuka iaitu Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Universiti UCSI, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Universiti Limkokwing yang akan mempromosikan acara itu secara aktif dalam kalangan pelajar mereka, khususnya pelajar jurusan muzik.
Datuk Zainalabidin percaya pendedahan kepada acara kebudayaan sebegini boleh memberi impak positif yang berpanjangan kepada kehidupan para pelajar ini, di samping menawarkan inspirasi dan kegembiraan yang mungkin sukar diakses tanpa acara seumpama ini. Beliau berkata konsert itu adalah bukti muzik sebagai satu kuasa yang mampu untuk memberi perubahan positif, menyatukan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat dalam meraikan seni dan budaya.
"Kami teruja untuk menganjurkan sebuah acara yang bukan sekadar hiburan, malah ianya menjadi platform untuk pembelajaran dan menjalinkan hubungan dalam industri muzik. Dengan melibatkan individu berbakat dan memberi tumpuan kepada pelajar muzik yang kurang berkemampuan, kami berharap dapat menyumbang kepada pembangunan generasi seterusnya dalam bidang muzik dan seni,” ujar Datuk Zainalabidin.
Tambah beliau lagi, "pasukan produksi Sound Spirit sedang berusaha untuk bekerjasama dengan beberapa penaja berpotensi yang akan memberikan sokongan kewangan bagi menampung kos tiket konsert, demi memastikan pelajar-pelajar muzik yang kurang berkemampuan ini berpeluang untuk menghadiri acara ini."
Bagi yang berminat untuk dapatkan tiket, boleh membeli secara atas talian di https://www.cloudjoi.com/shows/zainalabidin-sound-spirit-concert dengan harga RM110 dan RM210.
Tempahan awal amatlah digalakkan bagi memastikan peminat-peminat muzik dapat menghadiri konsert ini. Untuk maklumat lanjut tentang Sound Spirit, boleh ikuti @soundspirit.zainalabidin di Facebook dan Instagram.
Wah keren". Salam dari Indonesia hehe
BalasPadamHaiii...salam kenal
Padamtaknampak tua pn zainal abidin. mama suka lagu2 dia start dgn lagu hijau dulu
BalasPadamEpik dan legend... Lagu² die memang best
Padam