Jumaat, 25 Ogos 2023

Ragam Si Cilik Dalam Kelas Kuih Malaysia

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya." Baru-baru ini, LeYa berkesempatan menghadiri Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9, yang mana penonton cilik telah menyediakan aneka kuih-muih yang mewakili kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia.

Program ini diadakan bagi menyemai semangat kekitaan dalam kalangan penonton cilik, seterusnya menyemarakkan kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Media Prima Berhad yang bertemakan Manis Pahit Bersama. Seramai 10 orang penonton cilik bertuah berusia antara 6 hingga 12 tahun terpilih untuk menyertai Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 yang telah berlangsung di Sarang Cookery, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menurut Puan Khairunnisa Kamarulzaman, Pengurus Besar Pengurusan Program dan Penyiaran TV9, "Bersempena dengan bulan kebangsaan yang bakal tiba, Jaguh Kartun TV9 ingin membawa adik-adik belajar membuat kuih-muih tradisi Malaysia. Ia bertujuan memberi pendedahan kepada generasi baharu tentang aneka juadah dari pelbagai kaum Malaysia yang menjadi satu identiti dan keunikan yang tidak terdapat di negara lain."

"Dengan perubahan arus kemodenan yang pantas, pengaruh makanan tradisi ini semakin kurang dek pendedahan makanan barat yang lebih terjurus kepada "viral" atau "trendy" yang perlahan-lahan mengikis keaslian makanan tradisi di negara kita. Justeru, keunikan makanan tradisi ini perlu diberi pendedahan yang optimum bagi memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara, serta tidak lupa tentang keaslian makanan tradisi kita."
  
  
  

Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 yang berlangsung selama lima jam ini menyaksikan pelbagai kerenah adik-adik cilik yang amat teruja untuk belajar membuat kuih! Walaupun dipantau oleh cef berpengalaman yang sabar melayan kerenah adik-adik, mereka tidak gagal menunjukkan ragam mereka yang sangat menghiburkan.

Menerusi bimbingan cef yang berpengalaman, adik-adik ini telah mengasah kemahiran kulinari mereka dalam membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu kuih ketayap, kuih angku dan putu mayam. Tiga menu kuih-muih ini melambangkan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia.

Kuih Ketayap yang mewakili masyarakat Melayu

Kuih Angku yang mewakili masyarakat Cina

Putu Mayam yang mewakili masyarakat India

Keterujaan adik-adik ini dalam belajar dan mengenali kuih-muih tradisi Malaysia bukan saja dapat memupuk minat mereka dalam bidang kulinari, malah ia juga boleh mengukuhkan jati diri kenegaraan dalam membina masyarakat madani.

 
 
 
 

Pemilihan peserta Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 telah diadakan menerusi penghantaran rakaman video tidak melebihi 30 saat yang bermula dengan, "Saya ingin belajar buat kuih tradisi Malaysia sempena Hari Kebangsaan ini kerana...". TV9 telah menerima lebih daripada 40 penyertaan dalam tempoh peraduan yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 12 Ogos 2023. Hanya 10 penonton cilik dalam lingkungan umur 6 hingga 12 tahun ini telah dipilih berdasarkan jawapan mereka yang memberangsangkan!

4 ulasan:

  1. Best ada peluang belajar... Cuya pon tak pandai buat kuih gitu

    BalasPadam
  2. Wahhh sure happy semuanya dapat belajar buat kuih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu... Yang tengok pun turut happy... Hehe..

      Padam

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com