Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...
Legenda, seperti tajuknya, merupakan sebuah lagu malar segar nyanyian Dato' Sheila Majid yang dicipta oleh Fauzi Marzuki, Jenny Chin dan Habsah Hassan. Lagu ini pada asalnya merupakan lagu penghargaan kepada lagenda permata seni yang tiada galang gantinya, Tan Sri P.Ramlee.
Bagi meneruskan lagi legasi Legenda di abad ke 21 kini, lagu keramat ini telah dipilih untuk dipercambahkan dengan irama Gamelan Melayu di dalam sebuah album Gamelan Melayu berkembar yang bertajuk Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayyu di Abad ke 21). Paduan bunyian kumpulan monoloQue bersama Orkes Gamelan Pahang DiRaja diadun bersama vokal Kimal daripada kumpulan Margasatwa, lagu tersebut secara tidak langsung telah mencipta warna dan keunikannya yang tersendiri. Sungguhpun Legenda telah digubah 180 darjah oleh LoQue dengan unsur muzik baharu, namun saripati jiwa lagu tersebut, yakni irama asal, masih dikekalkan.
“Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asal Legenda daripada Dato’ Sheila Majid. Lagu Legenda versi asal semestinya tiada tandingannya. Saya cuma menyuntik unsur-unsur terkini dan mengubah mengikut citarasa kami seolah-olah lagu ini adalah lagu kami sendiri. Diharap versi kami ini akan menjadi petunjuk arah kepada versi asal Dato’ Sheila Majid di samping menjadi rujukan masa hadapan terhadap evolusi bunyian Gamelan Melayu,” kata LoQue. Menurut LoQue, lagu ini adalah belasungkawa tahap tertinggi kepada para legenda, baik yang dikenang dan yang tidak didendang sepanjang zaman.
Memberikan alunan baru kepada Legenda untuk dimuatkan di dalam album berkembar Gamelan Melayu adalah buah fikiran Dato’ Farid Abdul Jalal, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang yang juga Penerbit Eksekutif album berkembar, Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21). Selain kerana meminati lagu ini, Dato’ Farid memilih Legenda untuk menjadi sebahagian daripada projek ini kerana lagu ini mempunyai maksud yang jelas dan luas. Jika versi asal Legenda merupakan penghargaan buat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, beliau berpendapat bahawa Legenda versi baharu ini boleh diperluaskan lagi sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berkorban kepada negara dan memberi sumbangan kepada masyarakat setempat, termasuklah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memainkan peranan besar dalam evolusi tumbesaran Gamelan Melayu.
Bagi LoQue, diberi peluang untuk memperbaharui lagu Legenda adalah satu penghormatan. Sewaktu menghasilkan lagu ini, LoQue telah menterjemah penghargaan terhadap para perwira, baik kecil, baik besar, baik yang dikenali, baik yang dilupakan dalam bentuk irama.
Hari ini, dalam keadaan dunia yang dilanda pandemik, ramai wira tidak didendang yang harus dihargai. Bermula daripada para petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor, polis, askar dan tidak lupa juga para penghantar makanan, posmen, pekerja pembersihan, dan pekerja restoran. Semuanya adalah perwira yang berjasa besar kepada rakyat dan negara. “Di kala ‘perang halimunan’ ini, semuanya adalah legenda,” kata LoQue
“Lagu ini juga khas buat atuk saya” kata LoQue. Maaruf bin Mahmud, atuk kepada LoQue, adalah seorang penulis buku kanak-kanak dan panelis Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1980an. Antara jasa besar beliau adalah menjadi salah satu individu menghantar petisyen kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman bagi menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di negara ini.
‘Legenda’ yang dimuatkan dalam album berkembar terbaru monoloQue mempunyai 2 versi, yakni versi Piring Hitam(Vinyl) dan versi Cakera Padat(Deluxe). Legenda versi piring hitam yang dihasilkan pada tahun 2018 merupakan persembahan monoloQue yang dinyanyikan secara solo oleh LoQue. Manakala Legenda versi cakera padat(deluxe) merupakan kerjasama kreatif LoQue dan Kimal Margasatwa. Versi cakera padat(deluxe) telah siap dihasilkan pada tahun 2020.
Menurut Bakri “Halia” Ismail, dia rasa agak ragu apabila LoQue membentangkan hasrat untuk menggubah semula lagu Legenda. Antara sebab utama adalah versi asal lagu ini mempunyai irama yang lembut dan tidak mempunyai alunan dram. LoQue kemudiannya menghantar lagu contoh atau ‘demo’ kepada Bakri sebagai rujukan. Waktu itu, dia masih tidak nampak corak yang cuba dibentuk oleh LoQue untuk lagu tersebut. Sehinggalah LoQue memasukkan alunan vokal, barulah roh lagu tersebut sampai kepada Bakri dan dia dapat menyusun rentak paluan dram yang tersendiri.
Pemain gitar utama monoloQue, Ijoo “Gagak Hitam” turut mengalami pengalaman yang serupa. Dia merasakan gubahan Legenda versi baharu terlalu abstrak dan rumit, dimana dia tidak tahu alunan gitar sebagaimana yang sesuai. Maka dengan itu, dia telah membuat keputusan untuk tidak terlibat dalam pembikinan lagu ini.
Pemain keyboard monoloQue, Apex, berpendapat bahawa menggubah semula lagu Legenda merupakan sebuah cabaran kerana lagu ini “dinyanyikan oleh seorang lagenda hidup, dicipta juga oleh seorang lagenda, dan dimainkan juga oleh para lagenda”. Oleh itu, untuk mencipta semula aura gah seorang lagenda merupakan sesuatu yang luar jangka.
Menurut Kimal pula, cabaran sewaktu mencipta Legenda versi baharu adalah “untuk menarik minat masyarakat, yang telah sebati dengan lagu Legenda versi Sheila Majid, untuk mendengar versi MonoloQue pula.” Sebuah lagu malar segar yang berada di aras tinggi dalam industri bukanlah mudah untuk diperbaharui. Untuk membuat para pendengar menerima, apatah lagi.
Namun begitu, cabaran ini tidak menghalang Kimal untuk memberikan lenggok vokal yang mempesona dan eksotis. Di dalam versi piring hitam, LoQue telah menggunakan irama melodi vokal asal. Namun begitu, untuk versi bersama Kimal, Kimal telah menyuntik lebih kepekatan lenggok keMelayuan lalu menjadikan lagu ini berbeza dari versi sebelumnya. Kedengaran asing tetapi dekat di hati.
Legenda telah dirakam di Tunes Studios and Kilang Menjahit Bunyi di bawah pengelolaan LoQue and jurutera bunyi Hafiz Ahmad dan Aiyad Sakti. Rakaman vokal, penambahbaikkan Kimal, dan adunan terakhir telah dilakukan di Makmal Kampung Batu.
Dengarkan Legenda di laman digital Spotify, Apple Music, Deezer, dan Tidal.
Legenda juga boleh didengarkan di dalam album Lagu Perang(Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21) versi piring hitam dan cakera padat(deluxe).
Ikuti @monoloquerasmi di Instagram, Twitter, dan Facebook untuk melihat perkembangan dan kisah terkini.
Vera interesting post :) greetings from Turkey...
BalasPadaminteresting post! baca sini pasal kilang botol plastik
BalasPadam