Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Cerita ceriti ceritu travel masuk lagi dalam Blog LeYa. Kali ni ke mana LeYa nak bawak korang semua? Jangan pandang sebelah mata guys pada negeri terkecil di Malaysia ni! Namanya, Perlis Indera Kayangan. Walaupun kecil, tapi sebenarnya banyak tarikan menarik yang boleh korang kunjungi bila ke sana. Tambahan lagi, ada tempat membeli-belah bebas cukai yang berdekatan dengan kawasan sempadan. Sangatlah rugi kalau tak singgah kan! Nak tahu apa yang menarik lagi, jemput baca sampai habis.
Actually, cerita travel LeYa dan keluarga ni beraksi seawal PM umumkan dah boleh merentas negeri hari tuh. Dek kesibukan LeYa yang berpanjangan entah apa, baru sekarang nak memulakan episod penceritaannya di blog. Kah! Okay... Tak yah nak membebel panjang sangat. Meh tengok lokasi-lokasi menarik yang sempat LeYa dan keluarga singgah ketika berada di sana.
1. Warung Tepi Sawah
LeYa mulakan dulu dengan warung yang dah trending dan viral ni iaitu Warung Tepi Sawah. Bak namanya sahaja kita dah tahu kan. Warung ni terletak bersebelahan dengan sawah yang mana korang boleh nikmati sarapan pagi sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dengan berlatar belakangkan suasana kampung yang jauh dari hiruk pikuk kotaraya.
Antara menu yang menjadi pilihan ramai adalah pulut ayam, roti canai, nasi lemak serta "peknga" atau dikenali dengan nama lempeng kelapa yang dicicah bersama kari ikan. Errmmm... sedap...!!
Lokasi : Jalan Wang Ulu, Bintong, Perlis
Waktu Operasi : Setiap hari kecuali Isnin
Hubungi : 011 - 10837769
2. Lyboy Corner
Satu lagi lokasi sarapan pagi yang enak dan boleh korang cuba iaitu Lyboy Corner. Kat sini korang kena cuba Roti Telur Gedik, Roti Telur Kecai dan Nasi Daging Bakar yang memang LeYa boleh katakan sangat sedap. Yummy!
Harganya pun berpatutan. Ini merupakan destinasi yang korang patut pergi bila berada di Perlis.
Lokasi : Jalan Sekolah Derma, 01000 Kangar, Perlis
Waktu Operasi : 7.00 pagi - 3.15 petang
Hubungi : 019 - 381 0882
3. Gua Kelam
Untuk kali yang ke berapa kali entah LeYa kunjungi Gua Kelam ini pun tidak terkira. Yang pasti, setiap kali datang ke Perlis, pasti akan tuju dan santai di sini. Haha... Gua Kelam ni merupakan salah satu gua yang unik di Malaysia dengan kepanjangan gua batu kapurnya 370 meter. Terdapat jambatan kayu yang berkeluasan 8 kaki dan satu-satunya jalan yang boleh dilalui untuk menikmati pemandangan di dalam gua. Korang boleh pelajari dan mendengar bunyi air yang menitis daripada stalaktit dan stalakmit sepanjang perjalanan korang.
Lokasi : Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis
Waktu Operasi : 9.00 pagi - 6.00 petang
Harga Tiket : Dewasa RM1.00 | Kanak-Kanak RM0.50
4. FF Harmoni Bee Farm
Kepada peminat madu lebah asli Perlis, inilah destinasi yang korang wajib singgah. FF Harmoni Bee Farm terletak di Jalan Sungai Batu Pahat dan terdapat bekalan madu lebah asli dari hutan.
Di sini juga terdapat rawatan Apiterapi serta perkhidmatan perundingan dan latihan kepada yang berminat mengenai lebah madu. Jenis lebah madu yang diternak di sini adalah spesies daripada Apis Mellifera yang mana ia paling banyak digunakan dalam industri lebah madu. Jenis Apis Mellifera ini sangat produktif dan lebih jinak berbanding spesies lain. Dikatakan racun pada sengatnya amat sesuai untuk mengubati pelbagai penyakit.
Korang juga boleh sedut madu dari hub lebah madu yang disediakan. Pastinya ada kelainan pengalaman setelah singgah dan rasai madu lebah di sini.
Lokasi : Jalan Sungai Batu Pahat, 01000 Kangar, Perlis
Waktu Operasi : 9.00 pagi - 6.00 petang
5. Tasik Timah Tasoh
Tasik Timah Tasoh ini dah pun dikenali lebih-lebih lagi dalam penggambaran muzik video dan drama kerana keindahannya yang amat mengujakan. Di sekitar tasik ini terdapat dusun buah-buahan seperti durian, rambutan, durian belanda dan mangga. Korang boleh sahaja petik jika menginap di Tasoh Lake Resort & Retreat.
Selain itu, buat kaki pancing jangan ketinggalan untuk memancing di tasik ini. Dikatakan terdapat pelbagai jenis ikan air tawar seperti Gelang Pam, Haruan, Ubi, Talapia dan Keli. Memang syok habiskan waktu di sini!
Lokasi : Tasik Timah Tasoh, 01000 Kangar, Perlis
6. Padang Besar
Yeah!!! Inilah syurga membeli-belah bagi rakyat Malaysia dan Thailand, lebih-lebih lagi kaum wanita yang sinonimnya suka bershopping. Kenapa ia dikatakan syurga membeli-belah? Ini kerana harganya yang murah. Ye lah kan dah bagitahu kat atas tadi, lokasinya berada betul-betul di tengah sempadan antara Malaysia-Thailand. Jadi, kesemua barang yang dijual adalah bebas cukai.
Kalau korang yang belum pernah datang ke sini, LeYa memang sarankan korang untuk shopping puas-puas kat sini. Memang rambang mata nak masuk dari satu kedai ke kedai yang lain. Jangan terkejut, CCTV pun ada jual tau!
Lokasi : Padang Besar, Perlis
7. Aby Homestay
Bagi korang yang inginkan tempat penginapan yang murah dan boleh memuatkan ahli yang ramai, inilah homestay yang korang patut menginap. Terdapat pelbagai jenis penginapan yang korang boleh pilih mengikut bajet yang ada.
Lokasi : Lot 1278, Batu 1/2, Jalan Santan, 01000 Kangar, Perlis
Hubungi : 017 - 470 8810 (Sharipah Anisah) / 013 - 430 6135 (Abu Bakar)
Dah puas berjalan, LeYa dan keluarga sempat juga bertemu sanak-saudara yang berada di sana. Kalau diikutkan LeYa memang tak kenal pun mereka ni. Tapi mujur Ibu Ayah ada memperkenalkan kami dengan saudara-mara arwah atuk di belah utara ni. Dapat jugalah berkenalan mengeratkan lagi silaturrahim.
Bersama Abang Fauzi dan Kak Tini, anak buah ibu.
Bersama PakTeh Man, sepupu Ibu. (PakTeh mirip wajah arwah atuk. Terubat juga rindu bila melihat wajah PakTeh)
Siapa kata negeri kecil, Perlis ini tak hebat? Dengan pemandangannya yang tenang dan menghijau, LeYa pasti ia adalah sebuah destinasi yang menyeronokkan untuk dilawati bersama keluarga. Lagi-lagi korang yang sibuk menikmati kehidupan di bandar, pastinya suasana desa seperti di Perlis ini dapat mengembalikan ketenangan fikiran. Paling best, kalau dah puas cuti-cuti di Perlis, boleh naik feri untuk ke Langkawi. Semoga perkongsian LeYa kali ini memberi korang rasa seronok untuk bercuti bersama keluarga di Perlis Indera Kayangan.