Khamis, 28 November 2019

Festival Putrajaya LIFT 2019 Memperkasakan Celik Kewangan dan Masyarakat Digital

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Kali ni LeYa nak berkongsi dengan korang semua tentang Festival Putrajaya LIFT (Literacy in Financial Technology) 2019 yang dianjurkan Kementerian Kewangan Malaysia dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri kewangan di Malaysia dalam usaha memperkasakan celik kewangan dan membina masyarakat digital. 


Festival ini berlangsung di tiga lokasi strategik iaitu Menara Perkeso@Putrajaya, Bangunan Suasana PJH dan Kompleks Kementerian di Putrajaya selama dua hari bermula dari 28 hingga 29 Disember 2019

Festival ini akan dipersembahkan dalam konsep yang menyeronokkan dan interaktif dengan persembahan seni dan teknologi serta turut memberi gambaran kewangan masa hadapan. Di samping itu, festival ini turut memberi inspirasi serta maklumat relevan dan praktikal terhadap pemerkasaan kewangan dalam dunia teknologi dan digital yang dinamik.


Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng berkata, "Festival ini bukan sekadar meningkatkan celik kewangan tetapi juga bertujuan untuk memperkasakan orang ramai dengan menyediakan maklumat terkini kewangan dan pembangunan teknologi baharu dalam ekonomi digital. Kami ingin memastikan kebersediaan anak muda kini dan masa hadapan dengan menjamin peluang ekonomi dan pekerjaan masa depan."

 

Turut dianjurkan ialah seminar, bengkel, ceramah dan pameran menarik daripada institusi kewangan dan syarikat fintech. Pelbagai perkhidmatan dan nasihat kewangan ditawarkan termasuk kaunseling kewangan, penyelesaian pertikaian, aktiviti untuk kanak-kanak, pembiayaan kewangan untuk PKS dan perumahan, semakan CCRIS serta informasi mengenai penipuan kewangan yang semakin berleluasa pada masa kini.

Pengunjung juga berpeluang melawat ke Pavillion Kewangan Digital dan 'Future Pods', yang merupakan pameran awam mengenai aspek kehidupan masa hadapan.


Festival Putrajaya LIFT juga merupakan sebuah pusat setempat rakyat yang menghimpunkan pelbagai acara menarik dan hiburan menerusi 'The Showcase, The Market and The Fringe'.

'The Market' akan ditempatkan di dalam dan di luar Bangunan Suasana A PJH yang berkonsepkan Pasar Glam, di mana pengunjung boleh membeli-belah serta ia menampilkan jenama kreatif terkemuka Malaysia tentang gaya hidup, fesyen dan kecantikan di tingkat 1 dan tingkat 2. Turut berlangsung juga perkampungan di luar bangunan seperti Pasar Seni, Pasar Botani dan Pasar Tradisi.

'The Fringe' pula merupakan ruang hiburan yang menampilkan persembahan kesenian teknologi tinggi, aksi-aksi jalanan dan persembahan kumpulan tempatan sepanjang malam.


Selain itu juga, terdapat sesi tertutup bersama wakil industri yang akan membicarakan tren digital terkini dan pelbagai perkongsian inovatif melalui segmen 'The Conference'.


Untuk maklumat lanjut, layari

Website

Rabu, 27 November 2019

Tarikan Baru Yang Menyeronokkan Di Taman Tema Air Inflasi Mudah Alih Angry Birds, Setia Ecohill, Semenyih

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Wahhh... Dapat bermain dengan permainan Angry Birds, mesti kanak-kanak suka kan. Bukan kanak-kanak je! LeYa pun suka sebab seronok betul bila dengar bunyi dia tu... Weeee.... Hahaha... Teringat pulak nostalgia dulu-dulu zaman belajar main games Angry Birds ni kan. Lagi best sekarang ni pulak bukan sahaja ada games jer, malah dah ada movie. Best sangat kan!

Okay3x... Kenapa tetiba LeYa cakap tentang Angry Birds ni? Hehehe... Jom LeYa nak kongsi dengan korang semua especially IbuBapa yang ada anak-anak kecil dan tercari-cari kat mana nak bawa mereka cuti sekolah ni. Let's Go!


Baru-baru ni LeYa ada bawa anak buah kesayangan sorang ni, Aryan Rizkqi bersama Atok dan Uwan nya ke Taman Tema Air Inflasi Mudah Alih Angry Birds Splash Water World yang pertama di dunia yang terletak di Setia Ecohill, Semenyih. Taman tema ni dah pun dibuka pada 22 November lalu dan akan dibuka selama 2 bulan sebelum meneruskan aktiviti jelajahnya ke seluruh pelusuk Asia.

Konsep Taman Tema Air Angry Birds yang baru diperluaskan ini adalah satu inisiatif yang baik dan tepat pada masanya sebagai sebahagian daripada kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020.


Pada majlis tersebut, Tuan Mohd Akbal Setia, Pengarah Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (MTPB), bagi pihak Datuk Musa B. Yusof, Ketua Pengarah Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (MTPB) telah merasmikan Majlis Perasmian Taman Tema Air Inflasi Mudah Alih Angry Birds Splash Water World tersebut. Dalam majlis itu juga, beliau berkata, "Saya amat berbesar hati dalam merasmikan majlis pelancaran Angry Birds Splash Water World pertama di dunia sempena kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020. Kami percaya bahawa taman tema air ini telah dibina secara strategik lalu dilancarkan di Malaysia dan ini merupakan satu usaha untuk mencapai matlamat tarikan pengunjung kami sebanyak 30 juta pelancong untuk tahun 2020."

Turut hadir pada majlis itu ialah Encik Muhammad Hanafi bin Jalalludin, Ahli Majlis Kajang dan En. Magendaran Marimuthu, Setiausaha Kehormat Malaysian Association of Amusement Themepark & Family Attractions (MAATFA).


Latarbelakang Angry Birds Splash Water World

Dicetuskan pada tahun 2019 oleh Rovio Entertainment Corp, Angry Birds bermula sebagai sebuah permainan mudah alih yang popular dan sejak itu jenama ini semakin berkembang dari permainan digital ke pelbagai bentuk hiburan dan produk pengguna di bawah kelulusan perlesenan jenama. Berikutan daripada tayangan global The Angry Birds Movie 2, Angry Birds Splash Water World pasti menjadi pilihan utama aktiviti kanak-kanak dan seisi keluarga sepanjang musim cuti sekolah ini.



Watak-watak utama yang menjadi kegilaan kanak-kanak termasuk Red, Chuck, Bom, Terence, Eagle Mighty dan tentu saja Hatchlings akan turut berada di Angry Birds Splash Water World.

Kemuncak bagi Taman Tema Air ini pastinya permainan gelongsor air Angry Birds dan halangan yang memaparkan Red, Chuck, Bom, Mighty Eagle dan Terence. Antara gelongsor yang tertinggi terdapat di Taman Tema Air tersebut adalah sebuah gelongsor yang berketinggian 12m. Pastinya sekali lagi gelongsor itu bakal memberikan keseronokan berganda kepada pengunjung.
Selain itu, terdapat juga perarakan watak-watak utama Angry Birds, sesi ramah mesra bersama peminat dan aktiviti menari bagi menghiburkan orang ramai.



Angry Birds Splash Water World mula beroperasi selama dua bulan, bermula 22 November 2019 dan berakhir pada 5 Januari 2020. Hanya 1,500 tiket akan dijual kepada pengunjung setiap hari

Bukan itu sahaja! Di Taman Tema Air itu nanti akan ada juga kedai jualan mudah alih Angry Birds yang akan menjual pelbagai jenis barangan eksklusif Angry Birds dengan harga yang sangat berpatutan. Ini mungkin boleh dijadikan lokasi untuk para pengunjung membeli hadiah dan barangan sempena menjelangnya perayaan Krismas dan Tahun Baru 2020.


Jadi, sempena cuti sekolah ni, apa kata bawa anak-anak berseronok di Taman Tema Air Inflasi Mudah Alih Angry Birds Splash Water World, Setia Ecohill, Semenyih. Kunjungan ini pasti memberikan seribu makna buat anak-anak apabila buka sekolah nanti untuk diceritakan pada kawan-kawan. 


Maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan mengenai pembelian tiket, boleh kunjungi laman sesawang di bawah

https://www.ticket2u.com.my/event/15739

atau mengimbas kod QR ini

Selasa, 26 November 2019

Travelog Terengganu | 6 Tempat Menarik Di Setiu Yang Ramai Tak Tahu!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Bertemu lagi dalam episod LeYa bercuti ke Terengganu. Seperti yang korang sedia tahu, Terengganu cukup terkenal dengan keindahan pulau dan kehalusan pasir pantainya. Bukan itu sahaja, penduduknya yang mesra, makanannya yang enak, kecantikan tempatnya menyebabkan ramai yang datang ke sini setiap tahun.


Tempat-Tempat Menarik Di Setiu Wetland

Rata-rata yang datang pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berehat di pulau, tasik dan pantai sekitar Terengganu. Namun, korang tahu tak selain tempat-tempat itu, terdapat lagi tempat warisan sejarah, seni binaan lama, peranginan yang korang boleh terokai dan bermacam-macam aktiviti boleh dilakukan bagi meluaskan pengalaman dan keseronokan ketika bercuti bersama keluarga mahupun rakan-rakan.


Sedikit fakta mengenai Setiu Wetland ini ialah:
  • Ia berkeluasan 23,000 hektar
  • Merupakan sebahagian daripada ekosistem Lembangan Sungai Setiu (gabungan lembangan tanah lembap di Setiu-Chalok-Bari-Merang)
  • Merupakan satu-satunya tanah bencah di Malaysia yang mempunyai 9 ekosistem berbeza di dalam satu kawasan iaitu laut, pesisir pantai, kawasan berlumpur, lagun, muara sungai, sungai, pulau, rimba pesisir air dan rimba paya bakau.
  • Terdapat 161 spesis burung, 49 spesis rama-rama, 36 reptilia, 33 spesis pokok bakau, 29 spesis mamalia.
  • Setiu Wetland atau Tanah Bencah Setiu bukan sahaja unik, malah ia adalah satu kawasan yang cantik dan kaya dengan kelainan flora dan fauna yang digabungkan dengan laut, air yang bersih, haiwan di hutan dan juga bukit di sepanjang pantai.
Jadi, jom LeYa bawa korang ke tempat-tempat pelancongan menarik yang boleh korang kunjungi ketika berada di Setiu Wetland.

1. Bermalam Di Peladang Setiu Agro Resort

Bagi korang yang meminati sukan extreme seperti Water Rafting, Water Confident, Flying Fox, Berkayak dan banyak lagi, apa kata korang bermalam di sini dan rasai pengalaman berada di hutan, bukit dan sudah pasti pemandangannya cukup indah. Korang juga boleh melakukan aktiviti Night Walk di sebelah malam di hutan yang berhampiran dengan melihat kehidupan hutan yang aktif di waktu malam.

 

Alamat
Lot 3912, Guntong, 22040, Setiu

Hubungi
019 - 919 2240

2. Mencari Lokan dan Kepah Di Pengkalan Gelap, Setiu Wetland

Aktiviti mencari lokan dan kepah merupakan satu aktiviti menarik yang popular di Setiu. Kebiasaannya, pelancong dari dalam mahupun luar negara akan dibawa untuk merasai pengalaman mencari lokan di paya bakau dan kepah di muara sungai.


Aktiviti mencari lokan di paya bakau ini bukanlah kali pertama LeYa pernah lakukan. Apabila pulang ke kampung halaman Otomen di Kg Tedong Pantai, Melaka, LeYa teruja untuk merasai detik-detik masuk paya bakau di situ dan merasai pengalaman mencari lokan, siput dan banyak lagi hidupan laut. Jadi, berbekalkan pengalaman itu LeYa seronok mencarinya bersama rakan-rakan di Setiu. Dan, korang akan dibawa pula menyelam ke dalam sungai untuk mencari kepah yang berada di bawah pasir laut. Aktiviti yang sangat menyeronokkan untuk korang cuba!


 

Selain itu, korang juga boleh singgah ke Sangkar Ikan di Laguna, Pengkalan Gelap. Terdapat banyak spesis ikan yang korang dapat lihat di sini.

Memang gerun pada awalnya melihat sekumpulan ikan yang banyak datang menyerbu makanan yang diberi penternak, namun perasaan itu bertukar menjadi seronok apabila dapat memegang ikan yang besar itu. Malah dek keterujaan itu, ada yang terkena gigitan ikan. Jadi, hati-hati ye korang!

 

3. Singgah dan Melihat Koleksi Botol di Galeri Rumah Botol

Satu lagi tarikan unik yang korang boleh singgah bila berada di Setiu ialah Galeri Rumah Botol yang terletak di Kampung Baru Penarik. Kisahnya bermula dengan niat tidak mahu pelancong cedera terpijak apabila berjalan atau bermain di sepanjang kawasan pantai tumpuan orang ramai dan pernah dianggap gila gara-gara gemar mengutip botol terpakai. Namun akhirnya, usaha yang dilakukan warga emas ini yang dikenali dengan nama Pak Ali mendatangkan manfaat kepada masyarakat apabila berjaya menyediakan galeri rumah botol dengan mengumpul lebih 4,000 koleksi botol hanyut yang dikutip sendiri di tepi pantai, dibeli daripada kanak-kanak serta pemberian orang ramai yang mengetahui minatnya.


Tengku Mohd Ali atau dikenali dengan nama Pak Ali / Tokki mula berminat mengumpul botol kerana ukiran dan bentuknya yang berbeza sekitar tahun 2005. Kini, koleksi botol yang dimilikinya datang dari seluruh dunia termasuk Korea, Mexico, Perancis dan banyak lagi.


Sejak galeri rumah botol ini dibuka, beliau menerima ramai kunjungan daripada pelajar sekolah mahupun pelancong tempatan dan luar negara tanpa mengenakan sebarang bayaran. Kalau korang nak tahu lagi tentang keunikan-keunikan pada botol ini, jangan lupa singgah ke Galeri Rumah Botol.


Alamat
Jln Penarik - Mangkuk, Kampung Penarik, 21010 Kuala Terengganu, Terengganu

4. Menginap di Terrapuri Heritage Villa

Reka bentuk binaan villa penginapan ini pasti memukau sesiapa yang datang dan melihatnya. Ia diilhamkan daripada senibina istana Terengganu pada abad ke-17, villa ini menghadap Setiu Wetlands dan Laut Cina Selatan serta berkonsepkan gaya klasik dan tradisional yang cukup unik. 

Menariknya lagi, villa ini dibangunkan dengan kayu sepenuhnya tanpa menggunakan sebarang paku.





Alamat
Kg Mangkuk, Penarik, Setiu, Permaisuri, Merang

Hubungi
09 - 624 5020

5. Makan Malam Di Ikan Bakar Rohani, Pantai Penarik

Menikmati keenakan masakan Terengganu perkara wajib perlu dicuba ketika datang ke sini. Makanannya yang unik seperti Sata, Otak-otak, Keropok Lekor, pasti memberikan satu rasa keenakan buat pelancong yang datang.


Namun, mungkin makanan-makanan di atas yang dinyatakan itu sebagai kudap-kudapan sahaja. Setelah penat berjalan dan menggunakan banyak tenaga, sudah tentu menginginkan yang lebih banyak. Jadi, jom  ke Ikan Bakar Rohani yang cukup popular di sini. Ketika LeYa dan rakan-rakan tiba, hidangan yang disediakan cukup menyelerakan. Antaranya ialah Udang Celup Tepung, Sotong Celup Tepung, Ikan Celup Tepung, Daging Masak Merah, Tomyam, Telur dan Sayur Kailan Goreng Ikan Masin. Memang cukup lengkap dan sedap!


Alamat
Ikan Bakar Rohani, Pantai Penarik, Terengganu

6. Melihat Hasil Kraf Di Pusat Kraf Komuniti

Seni yang dipamerkan di sini cukup mengagumkan. Jika korang lalu di sekitar Kampung Beris Tok Ku, apa kata untuk singgah dan melihat hasil kraftangan yang dibuat mereka dengan menggunakan pokok kercut. Anyaman yang ada seperti beg, bakul, tikar dan sebagainya yang sangatlah cantik dan unik.


Kalau betul ketibaan korang di situ, korang akan diajar bagaimana proses menghasilkan seni kraftangan pokok kercut dari awal sehingga proses merendam dan menjemur daun kercut tersebut. Memang unik dan seronok dapat belajar!

Jadi, jangan lupa untuk membeli sedikit hasil kraf ini sebagai tanda menyokong komuniti di sini.

Alamat
Pusat Kraf Komuniti, Kampung Beris Tok Ku, Setiu


Sememangnya Terengganu kaya dengan tempat yang menarik dan unik. Rugi rasanya jika korang tidak mengambil peluang meneroka tempat-tempat ini. Selamat Bercuti!

Baca juga episod sebelumnya di sini!


Entry ini dihasilkan dari program Media FAM Trip bersempena Terengganu Homestay, Food & Culture Festival and Festival Setiu Wetland 2019 yang berlangsung  selama 5 hari 4 malam (24 - 28 Oktober 2019) anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama MOTAC Terengganu dan Tourism Malaysia Wilayah Timur.

Sabtu, 23 November 2019

Pertandingan Gaming 'The BAD Duel' Anjuran Bad Lab dan Watsons Malaysia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Rata-rata hari ini semua tahu dan memiliki permainan video di komputer mahupun telefon pintar dalam kalangan generasi muda. Memang dah menjadi trending dan cukup popular mereka memainkan permainan video ini bersama rakan-rakan mereka. Jadi, baru-baru ini, LeYa berkesempatan meraikan satu majlis pelancaran di antara Bad Lab dan Watsons Malaysia yang bergabung tenaga menganjurkan pertandingan gaming atau esukan yang diberi nama The BAD Duel di Vanity Atrium, Sunway Velocity, KL. 


Ini merupakan signifikasi kerjasama di antara kedua-dua jenama besar, jenama penjagaan diri dan jenama kesihatan & kecantikan yang pertama mengangkat segmen sukan yang dinamik ini di Malaysia. Bad Lab dan Watsons Malaysia ingin menjadi pemangkin kepada pembangunan industri esukan seiring perkembangan pesat ekonomi digital dunia.


Pada majlis pelancaran tersebut, pertandingan The BAD Duel bakal menyaksikan peserta-peserta yang dikenali ramai di arena gaming dari seluruh Asia untuk merebut hadiah wang tunai yang ditawarkan. 

Dalam pertandingan ini, ia dibahagikan kepada dua fasa di mana para peserta terlebih dahulu dikehendaki untuk mendaftar secara atas talian dan bermain permainan video yang telah dipilih oleh pihak penganjur untuk melayakkan diri ke pusingan kedua. Para peserta yang cemerlang, justeru layak ke pusingan kedua akan dijemput untuk menghadiri acara 'on-ground' yang bakal berlangsung di Sunway Velocity bagi pusingan Separuh Akhir dan Akhir. Permainan yang telah dipilih adalah Tekken 7 dan Dota 2, yang mana kedua-duanya mempunyai keunikan dan kesukaran tersendiri namun sangat popular di kalangan gamers.


Selain itu, pertandingan The BAD Duel akan bersiaran secara langsung di skrin besar lokasi pertandingan diiringi dengan komentari terkini daripada pengulas esukan yang telahpun dipilih. Ini pasti menarik perhatian ramai pengunjung untuk melawat tapak pertandingan dan juga menggalakkan pemain-pemain baru berinteraksi serta berbincang tentang esukan di kalangan umum terutamanya golongan sasaran.

 Mr. Lum Chong Heng,Pengarah Komersil Bad Lab

Menurut Mr. Lum Chong Heng, Pengarah Komersil jenama Bad Lab, "Bilangan penggiat dan peminat esukan di Asia Tenggara bakal meningkat dua kali ganda ke 19.8 juta tahun ini berbanding 9.5 juta pada tahun 2016 menjadikan rantau ini sebagai kawasan dengan peningkatan tertinggi bagi pasaran gaming. Di Asia-Pasifik sahaja terdapat audiens seramai lebih 98.9 juta dan kebanyakannya adalah dari Asia Tenggara. Di penghujung tahun 2019, boleh dikatakan bahawa jumlah audiens ini akan meningkat melebihi 31.9 juta. Statistik juga menunjukkan lebih 62 peratus dari keseluruhan jumlah audiens adalah dari lingkungan umur 16 ke 45".

Mr. Mohd Farouq, Pengarah eSport Malaysia

Turut bersetuju dengan kenyataan Lum, Caryn Loh, Pengarah Pemasaran bagi jenama Watsons Malaysia yang mengatakan "Kerjasama ini sangat penting serta bermakna bagi kami. Dengan penganjuran The BAD Duel bersama Bad Lab, Watsons adalah jenama kesihatan dan kecantikan yang pertama di Malaysia yang telah mengambil langkah berani dengan melabur untuk pembangunan segmen esukan di negara ini. Ketika ini, kita sedang menyaksikan kemajuan industri esukan dan gaming dan juga status pemain-pemain yang bergiat di dalam bidang ini turut meningkat daripada amatur kepada semi-profesional dan juga profesional. Ini merupakan situasi yang menggalakkan untuk turut menyumbang Malaysia sebagai salah satu kuasa dalam arena esukan di Asia".


Menariknya lagi, buat pertama kalinya dalam sejarah esukan telah diiktiraf sebaga acara sukan berpingat di Sukan SEA ke-30 yang bakal diadakan di Filipina tidak lama lagi. Seiring dengan perkembangan ini, Bad Lab dan Watsons ingin bekerjasama dan berkolaborasi dengan jenama-jenama relevan lain untuk pembangunan industri gaming ini agar dapat pergi lebih jauh lagi. Pertandingan The BAD Duel telah direka dan dianjurkan sebagai pengenalan bagi acara-acara yang lebih menarik di masa akan datang.


Maklumat lanjut boleh layari

Website

Selasa, 12 November 2019

Travelog Terengganu | Tempat Menarik Yang Boleh Disinggah Ketika Berada Di Jerteh

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Negeri Terengganu sangat luas dan terhampar pantainya yang bersih. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225km dari utara Besut ke selatan Kemaman. Rata-rata orang Terengganu sangat cantik dan kacak serta ramah mesra. Kebanyakan penduduk Terengganu menjadikan laut sebagai sumber ekonomi utama selain daripada hasil petroleum. 

Pernah dahulu LeYa datang ke Terengganu bersama keluarga. Tetapi hanya ke Kuala Terengganu, Tasik Kenyir dan kawasan berhampiran. Tak pernah lagi untuk menjejakkan kaki ke Daerah Besut ini. Kali ini, LeYa sekali lagi ke Terengganu dan meneroka Daerah Besut untuk tahu apa yang ada dan menarik di sana. Jom ikuti pengembaraan LeYa ke Ganu Kite!


1) Singgah Subuh Di Masjid Lapan Kubah

Ada yang pernah sampai di Masjid Lapan Kubah ini? Kalau korang perasan apa yang terlintas di fikiran korang bila melihat struktur binaan masjid ini. Ia merupakan sebuah masjid yang diinspirasikan dari Masjid Cathedral, Moscow, Russia. Jika korang ke Jerteh, Terengganu, pastikan untuk singgah di masjid ini dan abadikan kenangan untuk melihat masjid yang indah dan mempesonakan ini.  

Terletak di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, Terengganu, Masjid Lapan Kubah ini mendapat jolokan sebagai "Masjid Russia" dan telah menarik perhatian orang ramai dengan lokasinya betul-betul berada di tengah-tengah kampung itu.



Pembinaan masjid ini telah dicetuskan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh kira-kira tujuh tahun lalu dengan kos RM4 juta menerusi derma orang ramai. Masjid ini menggantikan masjid kayu sebelum ini yang telah berusia lebih 100 tahun dan sudah usang.

Masjid Lapan Kubah kini menjadi masjid ikonik dan tumpuan penduduk dari dalam dan luar negeri. Keunikan masjid ini dengan kombinasi warna kubah yang berwarna-warni membuatkan masjid itu mula digunakan pada tahun 2017 tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.

Group Foto by Dboystudio

Alamat
1315, Jalan Masjid, Kg, Jalan Lapan Kotak, 22000 Jerteh, Terengganu

Waktu Operasi
24 Jam

2) Bermalam Di Lata Kolam Air Deru Ecopark

Satu lagi tempat menarik yang korang boleh buat di Jerteh ini adalah dengan berkelah atau bermalam di Lata Kolam Air Deru Ecopark. Bukan itu sahaja, kepada pencinta sukan lasak pasti suka dengan kawasan ini. Korang boleh cuba menyewa basikal Mountainbike atau memandu ATV, memanah dan banyak lagi. 


Lata Kolam merupakan hutan simpan kedua di Malaysia. Ia telah dibangunkan pada tahun 2016 oleh anak jati Kg. La yang tidak pernah jemu berusaha untuk mengembangkan lagi kawasan seluas 7 hektar ini kepada orang ramai.


Setibanya korang di sini, pihak resort akan menjemput korang dan menjamu dengan snek tradisi Terengganu iaitu Keropok Lekor dan Sata. Menu lain juga ada disediakan seperti Mee Hoon Goreng dan aneka kuih-muih. Ternyata kesemua yang dihidangkan enak-enak belaka.


Di Lata Kolam ini korang boleh bermalam di beberapa penginapan. Antaranya ialah kabin, hammock camp dan juga disediakan tapak perkhemahan (camp site) buat mereka yang inginkan bermalam di dalam khemah seperti LeYa dan kawan-kawan pada hari itu. 

Kami bermalam di khemah yang bagi LeYa cukup selesa dengan diberikan kemudahan seperti tilam, bantal, kipas dan lampu. Jika sebelum ini pun LeYa berkhemah hanya beralaskan lantai khemah ketika menjalani Program Latihan Khidmat Negara yang lalu. Kawasan sekitar sangat bersih dan nyaman. Kemudahan awam seperti tandas, surau, elektrik dan paip air juga bersih. 


Saat yang ditunggu oleh setiap pengunjung yang datang ke sini tiba. Usai meletakkan beg dan menukar pakaian, LeYa dan rakan-rakan dibawa menaiki kereta Ford Ranger untuk naik ke atas bagi menjalankan aktiviti-aktiviti menarik yang ada di situ. Antaranya yang LeYa sempat cuba adalah memanah.



Dan, tanpa melengahkan masa lagi tujuan utama kami ke sini adalah untuk terjun dan mandi di Lata Kolam. Menurut pengusaha, Lata Kolam terdiri daripada 3 fasa iaitu

Pengkalan Satu
sesuai untuk keluarga yang mempunyai anak kecil

Pengkalan Suri
untuk dewasa atau kanak-kanak yang perlu diawasi dengan pengawasan orang dewasa

Pengkalan Raja
untuk dewasa dan permainan water sliding



Jangan lepaskan peluang korang untuk merasai kesejukan air terjun yang cukup indah di sini. Tidak lupa juga diingatkan untuk berhati-hati ketika mandi-manda. Seronok-seronok juga. Tapi keselamatan harus diutamakan ye!




Alamat
Lata Kolam Air Deru Ecopark
Jalan Kolam Air Panas La, Kampung La, 22010 Jerteh, Terengganu

Facebook

Instagram
https://www.instagram.com/latakolam_ecopark/

Hubungi
+6013 - 917 8633

3) Singgah dan Melawat Homestay Kubang Depu

Jika korang ingin menikmati keindahan kampung yang jauh dari kesibukan kota, LeYa syorkan untuk korang singgah dan rasai pengalaman di Homestay Kubang Depu. Homestay Kubang Depu adalah sebuah kampung yang dikelilingi hutan-hutan lipur yang nyaman serta berhampiran dengan Lata Kolam Air Deru dan kawasan pantai yang cantik berserta sungai yang indah. Malah, korang boleh menikmati makanan tradisi Terengganu yang sedap yang disediakan oleh penduduk setempat yang baik dan ramah.


Dari situ juga, korang boleh ke Jeti Pantai Kuala Besut atau Jeti Pusat Perikanan LKIM, Kuala Besut untuk membeli ikan-ikan segar atau hidupan laut lain dengan harga yang murah. 

4) Menyusuri Sungai Dengan Besut Cruise

Selain itu, korang juga boleh menyusuri Sungai Besut dengan menaiki Besut Cruise. Memang cukup mempesonakan!



Apa yang korang dapat lihat ketika menyusuri Sungai Besut?
  • Kawasan-kawasan perkampungan dan jeti nelayan.
  • Melawat Desa Ukiran Kayu
  • Menikmati makanan tradisi Sata dan Otak-otak di atas cruise bersama Air Kelapa Muda yang sedap
  • Merakam gambar pemandangan di sepanjang korang menyusuri Sungai Besut





5) Lawatan ke Ladang Kambing Fuzy 

Oh Ya! Jangan ketinggalan juga untuk melawat sawah padi yang cantik, ke kebun buah-buahan dan juga melawat Ladang Kambing Fuzy dan rasai susu kambingnya yang segar. 


Menjelang malam pula, LeYa turut berkesempatan menyaksikan pertunjukan Silat, Dikir Barat dan Muay Thai yang dipersembahkan oleh anak-anak muda kampung ketika Majlis Pelancaran Terengganu Homestay, Food and Culture Festival 2019 di Kampung Kubang Depu. 


Aktiviti cukup padat dan meriah LeYa rasakan ketika berada di situ. Ternyata orang-orang Terengganu memang pandai mengambil hati pelancong yang datang ke tempat mereka.


Alamat
Jalan Guri Mas, Kg. Kubang Depu, 22000 Jerteh, Terengganu

Jadi, tunggu apa lagi! Moh pakat ramai-ramai ke Jerteh, Terengganu untuk alami pengalaman yang menyeronokkan ini!


#vm2020 #visittrulyasiamalaysia #visitmalaysia2020 #beautifulterengganu #setiuwetlandsfestival2019 #tourismmalaysia #tourismmalaysiawilayahtimur #motacterengganu #IllyaLeYa #LFTravel #LFProduction #PropaRangers #travelblogger #travelisawesome #lifestyleblogger