Sabtu, 9 November 2019

10 Sunnah Rasulullah SAW Yang Mudah Diamalkan Dalam Kehidupan Harian

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya hari ini kita dapat meraikan Sambutan Maulidur Rasul 12 Rabiulawal 1441H bersamaan 09 November 2019. Kehadiran Nabi Muhammad SAW merupakan satu rahmat terbesar dan teragung yang Allah telah berikan kepada kita di alam semesta ini.


Maulidur Rasul

Sesungguhnya kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW adalah merupakan titik tanda kelahiran agama. Manusia pada ketika itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik dan tidak mengenal siapa pencipta mereka. Pada masa itu juga, penyembahan berhala-berhala merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian.

Lahirnya Rasulullah SAW yang diutus Allah, yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan dan membawa kepada cahaya Ilahi. Islam yang kemudiannya membawa rahmat kepada sekalian alam. Mesej kerahmatan untuk sekalian alam menandakan bahawa Islam datang dengan mesej kesejagatan, iaitu sebagai agama yang tidak semata-mata untuk satu kaum, bangsa atau sesebuah kawasan. Melalui mesej kesejagatan ini sahaja jika diperhalusi sudah memadai untuk kita meyakini akan kebenaran agama Islam ini.

Nabi Muhammad SAW

Rasulullah SAW sebagai seorang insan kamil yang tinggi keperibadian dan tiada tolok bandingnya. Maka baginda perlu dijadikan ikon perpaduan ummah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam susah dan senang)." (Surah Al-Ahzaab : 21)
Jelaslah, sesiapa sahaja yang menginginkan kehidupan di dunia hingga akhirat berjalan sempurna sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT, maka tiada jalan lain kecuali kembali mengamalkan ajaran al-Quran dan Hadis dalam kehidupannya kerana al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi orang yang bertakwa.

Oleh yang demikian, marilah kita merenung kembali sirah Rasulullah SAW dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah SAW. Dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik. Jom kita amalkan 10 sunnah Rasulullah SAW yang mudah ini dalah kehidupan harian kita.

10 Sunnah Rasulullah SAW yang Mudah Diamalkan Dalam Kehidupan Harian

1. Sebelum Tidur

Sebelum tidur, kita disunnah untuk menutup pintu, tingkap, memadamkan lampu, berwuduk, bermuhasabah diri, mengibas-ngibas tempat tidur sebanyak 3 kali dan berbaring mengiring sebelah kanan.

Setelah itu, bacalah ayat Kursi, 3 Qul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Kemudian, hembuskan pada tapak tangan dan usapkan ke seluruh anggota badan. Sekiranya ketika tidur kita berasa terkejut, takut atau gelisah, disunatkan untuk membaca doa perlindungan.

2. Bangun dari Tidur

Setelah bangun dari tidur, disunatkan untuk mengusap wajah dengan tangan, seperti sabda Nabi SAW:
"Rasulullah bangun tidur kemudian duduk sambil mengusap wajahnya dengan tangannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Kemudian, membaca doa;
“Alhamdulillahillazi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihinnusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah kami dimatikanNya dan kepadanNyalah kami dikembalikan)." (Hadis Riwayat Bukhari)
3. Masuk dan Keluar ke Bilik Air/Tandas

Masuk dengan kaki kiri dan membaca doa;
“Allahumma inni a’uzubika minal khubusi wal khaba’is (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadau dari godaan syaitan lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim)
Keluar dengan kaki kanan sambil membaca doa;
“Ghufranak (Aku memohon ampun kepadaMu).” (Hadis Riwayat An-Nasa’ie)
4. Ketika Berpakaian

Disunatkan untuk membaca "Bismillah" ketika hendak memakai pakaian dan apabila ingin melepaskannya. Hakikatnya, membaca "Bismillah" ini disunatkan untuk setiap perbuatan. Memulakan bahagian sebelah kanan ketika memakai pakaian dan sebelah kiri apabila ingin menanggalkannya.

Doa memakai baju/pakaian;
"Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan kepadaku pakaian ini dan telah memberikan rezeki pakaian ini kepadaku tanpa ada daya dan kekuatan dariku." (Hadis Riwayat Abu Daud, At Tirmizi dan Ibnu Majah)
5. Ketika Masuk dan Keluar Rumah

Ketika hendak keluar dari rumah, disunatkan untuk membaca;
“Bismillahi tawakkaltu alallah, wa la haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).” (Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi.)
Manakala ketika hendak masuk ke dalam rumah pula, disunatkan untuk mengucapkan bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah dan mengucapkan salam sama ada rumah tersebut ada orang atau tidak.

Ini kerana syaitan akan berkongsi tempat tinggal dengan kita, apabila penghuninya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya.

6. Ketika Memakai Kasut/Sandal/Selipar

Rasulullah saw mengajar kepada kita untuk memulakan kaki kanan apabila hendak memakai kasut/sandal atau selipar dan apabila melepaskannya dimulakan dengan kaki kiri.

Hal ini seperti diriwayatkan dari Abu Hurairah r.anhu bahawa Rasulullah saw bersabda,
“Jika kalian memakai sandal, maka dahulukanlah kaki kanan, dan jika melepaskannya, maka dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya maka hendaklah memakai keduanya atau tidak memakai keduanya sama sekali.” (Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim)
7. Ketika Makan Dan Minum

Sebelum dan selepas makan, disunatkan untuk berdoa. Apabila terlupa membaca doa sehingga makanan sudah habis dimakan, ucapkanlah,
“Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud Dan At-Tirmizi)
Antara sunnah ketika makan dan minum ialah memulakan dengan menggunakan tangan kanan dan mengambil makanan yang paling hampir dengan kita. Tidak meniup makanan atau minuman, menjilat jari-jemari untuk membersihkan sisa makanan, tidak mencela makanan apabila tidak menyukainya, tidak membazir, duduk dengan sopan atau bersimpuh.

8. Mengucap Salam Dan Bersalaman

Apabila bertemu dengan sesama Muslim, disunatkan untuk kita mengucapkan salam, “Assalamualaikum atau Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”, sama ada pada orang yang kita kenal atau tidak. Kemudian, bersalam-salaman.

Hal ini seperti sabda Baginda saw;
“Keutamaan dalam Islam adalah dengan memberi makan dan mengucapkan salam pada orang yang kamu kenali atau tidak kenal.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim) 
“Kedua orang muslim yang bertemu kemudian bersalaman, maka diampuni dosanya sebelum keduanya berpisah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi Dan Ibnu Majah)
9. Senyum

Senyum merupakan ‘sedekah’ yang paling mudah untuk dilakukan oleh setiap orang, dan Rasulullah saw adalah orang yang paling pemurah dengan senyuman yang tak lekang di wajahnya. Hal ini membuatkan orang sekeliling senang padanya.

Abdullah bin al-Harith r.anhu berkata,
“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
10. Berzikir

Amalan berzikir juga merupakan perkara kebiasaan yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW. Bahkan, lidah Baginda tidak lekang memuji nama-nama Allah yang indah tidak mengira waktu.

Selain menggunakan lisan atau lidah, kita juga boleh berzikir melalui hati sama ada ketika berdiri, duduk atau berbaring.

Sesungguhnya, dengan berzikir akan membuatkan hati kita tenteram, seperti firman Allah swt;
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, maka hati menjadi tenteram.” (Ar- Ra’d : 28)

Selamat menyambut sambutan Maulidur Rasul 2019/1441H

5 ulasan:

  1. Mevlid kandili mübarek olsun 😊

    BalasPadam
  2. This is incredible! It sounds very nice for me. I will definitely try to practice it. I appreciate that you have shown this information.

    BalasPadam
  3. I would like to thank you for the efforts you have made in writing this article. I am hoping the same best work from you in the future as well. Thanks.. Deskgram- sponsored app displaying ads next to its claims to be a desktop Instagram version. Deskgram is the website that claims to be.

    BalasPadam

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com