Ahad, 23 Disember 2018

Jelajah Melaka Bersama Fast Bikes Club

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Melaka sebuah bandaraya bersejarah yang sememangnya menjadi daya tarikan pelancong tidak kira dari dalam mahupun luar negara. Mempunyai tempat-tempat menarik yang sering dikunjungi, kali ini LeYa menjelajah ke Bandaraya Melaka selama 3 hari 2 malam bersama sekumpulan motor berkuasa besar yang dianjurkan oleh Fast Bikes Club (FBC) dengan kerjasama Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Warisan & Kebudayaan Negeri Melaka serta Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Pelaburan Negeri Melaka.


Konvoi motosikal berkuasa besar ini melibatkan peserta dari 3 buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Thailand yang akan menjelajah seluruh negeri Melaka di samping melaksanakan aktiviti CSR seperti membersihkan Masjid Lama Rumbia, menghulurkan sumbangan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim. 

Majlis Perasmian yang diadakan di Mudzaffar Hotel Melaka

Sebelum itu, seperti yang semua sedia maklum tahun 2019 merupakan tahun melawat Melaka dan baru-baru ini tarian Dondang Sayang telah mendapat pengiktirafan daripada UNESCO. Dengan program Tour Melaka 2018 ini secara tidak langsung telah mempromosikan kebudayaan, makanan dan tempat menarik di Melaka.


Asam Pedas Melaka

Selain itu, turut mendapat sokongan dari beberapa penaja seperti KTM Malaysia, FGG-Financial Genius Group, Nayla Beauty, AADK, Toyo Lube, Adabi, Az Fadz, Annona Coffee Harley Davidson, Petaling Jaya, Melaka fm dan Mudzaffar Hotel Melaka. 


Program Tour Melaka 2018 bermula dari The Gasket Alley - Harley Davidson, Petaling Jaya dan mengambil masa lebih kurang 2 jam kerana terpaksa berhenti seketika dek hujan lebat dan telah selamat sampai di Mudzaffar Hotel Melaka, Ayer Keroh lebih kurang jam 6.00 petang. 

Tepat jam 8.00 malam, LeYa berserta rakan-rakan dan konvoi motosikal meneruskan perjalanan ke destinasi pertama iaitu Makan Malam di Restoran Queyside dengan dijamu makanan orang Melaka iaitu Asam Pedas sambil dihiburkan dengan tarian kebudayaan negeri Melaka.


Kredit Photo: Taha Khusaimi

Perut sudah kenyang, Malam masih awal untuk terus pulang ke penginapan. Kami disajikan lagi dengan pemandangan indah merentasi Sungai Melaka menaiki Melaka River Cruise. Dapat kami saksikan keindahan sebenar negeri Melaka ketika menelusuri Sungai Melaka dan penerangan jelas dari Tour Guide yang disediakan.


Kredit Photo: Taha Khusaimi

Hari sudah jauh malam. Kami pulang ke hotel penginapan untuk bersiap awal pagi esoknya. 


Keesokan harinya, seawal jam 9.00 pagi, kami bertolak ke Masjid Lama Rumbia, Alor Gajah untuk menjalani aktiviti CSR membersihkan kawasan masjid. Aktiviti gotong-royong yang diadakan ini bagi memupuk semangat kerjasama antara pasukan motorsikal dengan penduduk kampung dan dalam masa yang sama menjalin hubungan erat antara satu sama lain. 

Difahamkan masjid ini sudah berusia lebih 160 tahun dan masih kekal utuh hingga ke hari ini. 



Badan sudah kepenatan dan minta diisi. Kami meneruskan perjalanan untuk menikmati sekali lagi makanan orang Melaka iaitu Asam Pedas di Restoran Zahrin, MITC, Ayer Keroh. Bukan setakat Asam Pedas sahaja, tetapi kami dijamu dengan pelbagai pilihan makanan lain yang sememangnya sedap dan berbaloi untuk korang cuba jika bertandang ke sini.

Kredit Photo: Taha Khusaimi

Hari semakin panas terik. Tekak mula terasa kehausan. Apa lagi? Dah sampai Melaka ni, macam tak syok pula kalau tak ke lokasi yang cukup terkenal dan viral di media sosial iaitu Klebang Original Coconut Shake. Setibanya di situ, memang kelihatan ramai pengunjung sehingga beratur panjang semata-mata untuk merasai kelazatan Coconut Shake. Memang sedap tak terkata ketika menikmati minuman Coconut Shake itu.

Kredit Photo: Taha Khusaimi

Hilang rasa dahaga setelah puas minum Original Coconut Shake sebentar tadi. Kami meneruskan lagi perjalanan ke mercu tanda negeri Melaka iaitu Menara Taming Sari. Menara Taming Sari ini berketinggian 80m dan berpusing 360 darjah dengan pengunjung dapat menyaksikan pemandangan Bandar Melaka seperti Bukit St. Paul, Dataran Pahlawan, Sungai Melaka, Selat Melaka dan kawasan sekitar yang lain. LeYa bangga dan kagum dengan keindahan yang ada di negeri Melaka dan pelancongan Malaysia ini. Korang patut rasa bangga dengan keindahan yang ada dan wajib rasai pengalaman menaiki Menara Taming Sari.

Kredit Photo: Taha Khusaimi

Kredit Photo: Taha Khusaimi

Pejam celik pejam celik, sudah masuk di hari ketiga. Terasa pantas masa berlalu. Kali ini kami sekali lagi melaksanakan aktiviti CSR serta menziarah kasih dan mesra bersama penduduk Kampung Rembia dengan menjalani aktiviti Sukan Rakyat. Seperti sudah lama kenal, penduduk kampung menjalin hubungan erat dan beramah mesra dengan penuh keseronokan dan sporting melibatkan diri dalam penyertaan permainan yang dianjurkan. Gelak ketawa dapat disaksikan antara satu sama lain. Terhibur juga hati LeYa ketika itu.


Antara aktiviti sukan rakyat yang diadakan adalah Tarik Upih, Bowling Padang, Lari Ikat Kaki, Cari Duit Syiling dalam tepung, Kerusi Beracun dan Bola Sepak Kain Pelikat.

Kredit Photo: Taha Khusaimi

Turut diberi perhatian juga adalah sumbangan kepada golongan Asnaf, Ibu Tunggal dan Anak Yatim. Selain itu, aktiviti penyampaian hadiah buat pemenang sukan rakyat dan cabutan bertuah juga turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana majlis.



Program Tour Melaka 2018 ini berjaya menggamit sanubari semua peserta yang hadir dan turut terkesan juga buat LeYa yang amat merindui detik-detik bersama mereka selama 3 hari itu. Program ini telah membuka mata dan minda tentang keindahan sebenar sejarah yang ada di negeri Melaka dan memang patut diceritakan kepada semua untuk datang berkunjung ke Melaka sebagai destinasi percutian menarik tahun 2019.

Pengerusi, DJ Ninie memberi ucapan sepatah dua kata

Tahniah dan terima kasih LeYa ucapkan buat penganjur utama, Fast Bikes Club yang dipengerusikan oleh DJ Ninie atau nama sebenar Fadzlaini Ibrahim atas kesudian menjemput LeYa dan lain-lain dalam aktiviti jelajah Melaka bersama peserta konvoi motosikal berkuasa besar ini. Tidak dilupakan juga penaja lain yang turut sama memberi kerjasama menjayakan program Tour Melaka 2018. LeYa mengharapkan ikatan persaudaraan yang baru dijalinkan ini kekal selamanya.

Pasukan Singapura

Pasukan Thailand

Pasukan Malaysia

LeYa akhiri kembara ini dengan dua rangkap pantun:-

Pandang-pandang jeling-jeling,
Naik motorsikal pusing-pusing,
Panas terik berdenting-denting,
Terima kasih kerana bawa pusing-pusing.

Daun selasih warnanya merah,
Membawa kami ke Melaka negeri Hang Tuah,
Tahniah buat penganjur bertuah,
Semoga sentiasa dirahmati Allah.

12 ulasan:

  1. seronok tengok aktiviti bersama macam ni, salam ukhuwah dari AJ :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wassalam Kak Ana Jingga. Yeah.. Memang seronok pun dapat bersama dlm trip mcm ni

      Padam
  2. Wowww bestnya!!! Kami selalu juga ke Melaka ni...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yeah! Memang seronok pun.. Rindu jugak dgn mereka ni bila dah blk..😁😁

      Padam
  3. Wah bestnya konvoi dengan geng geng motor besar jalan jalan Melaka .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yeah! Memang seronok... Tak sabar nak g sekali lagi dgn mereka

      Padam

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com